Jangan memperlekeh anggota tentera

Bagi saya, mengkritik ATM tak ada masalah, tetapi jangan sekali-kali menghina anggota tentera yang berjuang demi tanah air kita.

SUNGAI PETANI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menyindir segelintir golongan masyarakat yang memperlekehkan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan keamanan negara.

Beliau berkata, keamanan yang dikecapi negara kini adalah hasil keberanian pasukan keselamatan yang berjuang tanpa mengenal lelah walaupun tercedera ketika melaksanakan tugas.

“Ada bekas anggota tentera yang tercedera akibat ‘booby trap’ (jerangkap samar).

“Harap jutawan di negara ini tahulah, tentera yang tercedera dapat menjadikan mereka kaya-raya sekarang.

“Kalau orang ini pandai sangat, cekap sangat berniaga, pergilah berniaga di Afghanistan, nak tengok untung atau rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap penghinaan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap anggota tentera.

“Bagi saya, mengkritik ATM tak ada masalah, tetapi jangan sekali-kali menghina anggota tentera yang berjuang demi tanah air kita.

“Kita boleh sokong mana parti politik yang kita mahu, sokonglah parti kerajaan atau pembangkang, tapi anggota ATM yang bertugas sentiasa mentaati dan menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu, seramai 500 veteran ATM dianugerahkan PJM sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan semasa bertugas.

Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan (B) Oo Meng Jit, 69, berkata tidak ramai mengetahui kesukaran perjuangan anggota tentera yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

“Cabarannya amat besar dan waktu itu, semua anggota tanpa mengira bangsa berjuang bersama-sama untuk mempertahankan tanah air.

“Saya berharap lebih ramai anak muda akan menyertai pasukan ATM untuk menyemarakkan lagi perpaduan kaum dalam mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

Kategori
BeritaNasional