Isu Lynas : Pemimpin BN kritik pemimpin PH yang sebelum ini lantang bantah kilang Lynas

Pemimpin BN mengkritik pemimpin PH yang sebelum ini membantah kilang Lynas tetapi kini diteruskan

Pemimpin BN hari ini mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengambil sikap membantah kilang nadir bumi, Lynas di Kuantan.

Ini selepas Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata kilang nadir bumi itu boleh terus beroperasi di negara ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak menerusi Facebooknya berkongsi video lama setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengenai kesan bencana radioaktif sisa nadir bumi berkenaan.

Najib turut mensasarkan Wong Tack, aktivis utama yang pernah menyuarakan bantahan terhadap kilang Lynas dan anggota parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

“Guan Eng dah tak takut “loji nuklear meletup dan membunuh semua rakyat tak kira Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban” lagi.

“Fuziah dah tak takut masak ikan bermata tiga. Wong Tack dah tak bersumpah mahu bakar kilang Lynas lagi. PH dah tak takut ‘raykat’ bertukar jadi mutant,” tulisnya di Facebook.

Turut menyuarakan kritikan sama adalah Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mempersoalkan pendirian Wong Tack berikutan kenyataan menteri itu.

“Wong Tack, tolong tunaikan janji. Jangan jadi orang yang cakap tak serupa bikin,” katanya di platform media sosial.

Semalam, Redzuan dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata kerajaan akan membenarkan Lynas terus beroperasi bagi menarik pelabur asing.

Kategori
NasionalUtama