Islam tak nafi hak bukan Muslim dalam jual beli – Harussani

Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini ketika ini adalah implementasi daripada konsep ta’awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyeru umat Islam di negara ini untuk sama-sama menjayakan agenda memperkasa ekonomi golongan itu melalui sokongan dengan menyokong produk serta barangan keluaran umat Islam.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi sendiri dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri.

“Hal yang demikian disebabkan umat Islam mengetahui hukum hakam dan prinsip penyediaan sesuatu produk.

“Bagaimanapun, pada masa sama Islam tidak menafikan hak dan pembabitan orang bukan Islam dalam urusan berjual beli dengan syarat ia mestilah mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk, malah asas kepada urusan jual beli yang dititik beratkan dalam Islam adalah wujudnya unsur saling meredai (taradhin),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Harussani berkata, konsep ta’awun atau tolong-menolong adalah perkara asas dalam Islam termasuklah dalam urusan jual beli.

Katanya, konsep berkenaan mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangunkan serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam.

“Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini ketika ini adalah implementasi daripada konsep ta’awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

“Adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan al-Hadis dalam segenap aspek kehidupan termasuk aktiviti jual beli dan dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, umum mengetahui kekuatan sesuatu bangsa dipengaruhi kekuatan ekonominya dan sebagai umat Islam, kekuatan akidah yang akan mempengaruhi kekuatan ekonomi ummah.

Katanya, seorang Muslim yang kuat akidahnya akan memperkuat ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan yang halal dan baik.

“Thoyyib merujuk kepada perkara kebaikan yang ada pada produk itu meliputi sumber bahan mentah dan kaedah penyediaan produk berkenaan termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati yang ikhlas dan jujur,” katanya.

Kategori
BeritaNasional