Presidennya, Jasni Md. Kechik berkata, Dong Zong dianggap rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Tegasnya, kini Dong Zong menampakkan ‘belang’ dengan membuat petisyen berkaitan seni khat sehingga mereka dilihat terlalu rasis dan mencabar sensitiviti orang Melayu dan Islam.

“Sikap pertubuhan ini yang masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jasni, pandangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan Dong Zong adalah rasis banyak kebenarannya berdasarkan rekod kesatuan itu.

Tegasnya, ia bukan kali pertama Dong Zong membantah yang mana semasa mahu memperkenalkan pelaksanaan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, Tamil dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan, mereka membantah kerana bimbang anak mereka bercampur dengan kaum lain khususnya Melayu.

“Banyak dasar pendidikan kebangsaan, golongan ini membantah dan tidak pernah bersetuju tanpa mempedulikan kurikulum kebangsaan yang mementingkan perpaduan rakyat.

“Tindakan Dong Zong mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat dianggap sebagai langkah yang tidak bermoral seolah-olah kerajaan cuba mengislamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, tulisan Jawi sudah lama diperkenalkan sebelum tulisan rumi.

Katanya, orang Melayu banyak bertimbang rasa dan bertolak ansur yang mana dahulu terdapat sekolah Melayu.

“Demi menjaga hati semua kaum dan perpaduan, orang Melayu sanggup menggadaikan nama sekolah Melayu dan diganti dengan panggilan sekolah kebangsaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE