Hanya sebuah ATM diletupkan dalam rompakan di Tanjung Malim

"Hanya sebuah mesin diletupkan dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi tadi iaitu ATM. Letupan menyebabkan cermin di bahagian menempatkan semua mesin itu pecah,"

IPOH, 12 Ogos (Bernama) — Hanya sebuah Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) diletupkan dalam insiden rompakan di sebuah bank di Tanjung Malim awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata premis yang terletak di Jalan Haji Mustafa Raja Kamala itu menempatkan tiga mesin iaitu Mesin Deposit Tunai, Mesin Deposit Cek dan ATM.

“Hanya sebuah mesin diletupkan dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi tadi iaitu ATM. Letupan menyebabkan cermin di bahagian menempatkan semua mesin itu pecah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Wan Kamarul, dalam insiden itu, wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 berjaya dilarikan perompak dari ATM yang diletupkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata polis sedang cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bagi membantu siasatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkannya kepada pihak polis.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran dalam satu kenyataan malam ini berkata kerugian akibat insiden rompakan tersebut berjumlah RM270,000.

Beliau berkata polis menerima maklumat daripada pihak keselamatan ibu pejabat Ambank Kuala Lumpur menyatakan penggera di premis bank itu di pekan Tanjung Malim berbunyi pada pukul 6.45 pagi.

Katanya seorang saksi lelaki yang tinggal di hadapan bank itu memberitahu mendengar bunyi letupan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum melihat menerusi tingkap rumahnya tiga lelaki keluar masuk di tempat kejadian.

“Saksi beritahu semua lelaki itu menaiki kereta berwarna merah, namun tidak pasti jenis dan nombor pendaftaran kenderaan.

“Hasil rakaman CCTV mendapati dua lelaki bertopeng telah masuk melalui pintu hadapan sebelum keluar dan meletupkan sebuah ATM,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata semua spesimen yang ditemukan di lokasi oleh pasukan penyiasat dihantar ke Jabatan Kimia serta Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional