Go-Jek undang fitnah – Mufti Selangor

Ini sama juga dengan keadaan sekiranya penunggang wanita dan pelanggan adalah lelaki. Tetap bukan mahram.

SHAH ALAM: Keputusan Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek, dilihat boleh mengundang fitnah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata penunggang Go-Jek kebanyakannya lelaki manakala pelanggan pula boleh terdiri daripada wanita.

Katanya, berikutan itu, Go-Jek sudah dilihat tidak sesuai kerana penunggang dan pelanggan adalah bukan mahram.

“Ini sama juga dengan keadaan sekiranya penunggang wanita dan pelanggan adalah lelaki. Tetap bukan mahram.

“Keadaan ini jelas menunjukkan tidak sopan dan bercirikan Islamik. Menaiki motosikal bersama bukan mahram adalah tak diharuskan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Berikutan itu, Mohd Tamyes berkata lebih baik perkhidmatan Go-Jek itu tidak dibenarkan, sekali gus mengelak sebarang fitnah.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan membuat kajian berhubung mekanisme pelaksanaan selain undang-undang berkaitan khusus untuk perkhidmatan itu di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyatakan hasrat memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Go-Jek.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju perkhidmatan itu diperkenalkan di negara ini.

Kategori
BeritaNasional