Exco rogol amah akan didakwa esok

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol majikannya di rumah lelaki itu di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

IPOH 22 Ogos – Ahli exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.

Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu akan dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.Bagaimanapun, sehingga kini, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain belum mengesahkan mengenai pertuduhan esok manakala pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri pula tidak mahu membuat sebarang kenyataan.

Pada 8 Julai lalu, Choo Kiong yang juga merupakan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya.

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol majikannya di rumah lelaki itu di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, tangkapan dilakukan terhadap Choo Kiong pada 9 Julai lalu namun dia dibebaskan dengan jaminan polis setelah pasukan penyiasat berjaya melengkapkan siasatan kes berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Kertas siasatan kes itu kemudiannya dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya namun dikembalikan semula kepada pihak polis sebanyak tiga kali bagi melengkapkan beberapa perkara serta mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia.-UTUSAN ONLINE

Kategori
BeritaNasionalUtama