Dr Mahathir tak tahu sebab Siti Aisyah dibebaskan

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan warga Indonesia, Siti Aisyah, dibebaskan daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam adalah atas permintaan Indonesia.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan warga Indonesia, Siti Aisyah, dibebaskan daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam adalah atas permintaan Indonesia.

“Saya tak dapat maklumat,” kata Perdana Menteri pada sidang media di Parlimen

Semalam, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly, dilaporkan berkata pembebasan Siti Aisyah, 27, adalah hasil beberapa siri rundingan antara pemimpin Indonesia dan Malaysia, termasuk pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Dr Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pembebasan Siti Aisyah itu adalah selaras dengan proses undang-undang yang membenarkan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

“Ini keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Dia (Siti Aisyah) dibicarakan dan dakwaan ditarik balik semalam.

“Itu juga proses yang mengikut undang-undang, ada hak tarik balik tuduhan itu dilakukan.

“Saya tak tahu perincian sebab sebab ia dilakukan, tapi pendakwa raya boleh tarik menarik balik tuduhan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Kategori
NasionalUtama