Ketua Pemudanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah menyatakan bahawa kementeriannya dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun terlibat sebelum pengauditan dijalankan Jabatan Audit Negara.

Sumbangan yang diterima itu, katanya, akan digunakan untuk melunaskan pembayaran hutang kerajaan persekutuan.

“Beliau (Lim Guan Eng) menyatakan bahawa pengurusan Tabung Harapan dibuat secara teratur dan berintegriti, malah satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir akan memutuskan penggunaan wang itu mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun Tabung Harapan Malaysia (Trust Deed),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Namun, Mohd. Hairi menegaskan, selepas 14 Januari, tidak ada kenyataan rasmi daripada Kementerian Kewangan berhubung status terkini wang tersebut.

Beliau mempersoalkan sama ada wang itu telah diaudit dan dilakukan pembayaran terhadap hutang negara dan jika benar, di manakah buktinya dan pada masa sama, mahukan jaminan kerajaan bahawa wang itu benar digunakan untuk membayar hutang negara.

“Justeru, Lim Guan Eng dan kerajaan Malaysia perlu menjawab perkara itu kerana rakyat berhak untuk mengetahui kerana ia adalah sumbangan daripada rakyat. Jadi, beliau perlu memberi penjelasan dan jangan cuba-cuba nak lari,” katanya.