MAHB dijual kepada Vincci & Gatwick?

“Sekiranya ini benar ini adalah pengkhianatan kepada negara dan bangsa terutama sekali bumiputera.

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dilaporkan berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

Jika rundingan tersebut benar berlaku dan diteruskan, MAHB dikatakan tidak lagi mengawal dan mengurus lapangan terbang seluruh negara sebaliknya akan dilakukan oleh syarikat asing.

Menurut bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi, beliau terkejut dengan pendedahan penganalisis politik Badrul Hisham Shaharin apabila Khazanah memutuskan untuk menjual aset bertaraf nasional itu.

“Sekiranya ini benar ini adalah pengkhianatan kepada negara dan bangsa terutama sekali bumiputera.

“Nampaknya ada muslihat dan konspirasi beberapa pihak dalam kerajaan dan Khazanah dan dipengaruhi oleh satu pihak swasta yang ingin melihat sebuah institusi bumiputera yang agak berjaya dan terkenal seluruh dunia hancur ranap,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambah beliau, MAHB pernah menerpa beberapa kejayaan dalam pengendalian lapangan terbang termasuklah pemilikan lapangan terbang kedua terbesar di Turki iaitu Sabiha Gochken Istanbul dan berjaya meraih keuntungan sebelum cukai RM700 juta pada 2018.

“MAHB juga diberi kepercayaan untuk mengendali fasiliti di lapangan terbang antarabangsa Hamad, Doha salah satu lapangan terbang antarabangsa terbaik dunia.

“MAHB sebagai satu syarikat yang berjaya patut diberi galakan untuk mencebur diri di persada antarabangsa kerana banyak negara di Timur Tengah dan Afrika berminat untuk belajar dari Malaysia untuk mengendali lapangan terbang dengan berjaya dan menguntungkan.” tegasnya.

Semalam, Badrul atau che’Gu Bard dalam status Facebook miliknya mendakwa, Khazanah menolak cadangan awal yang dikemukakan oleh ADP Incorporated untuk mengekalkan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham utama MAHB.

“Kami dimaklumkan dari sumber maklumat yang diperoleh, bahawa MAHB akan terlelong kepada GATWICK – London yang tidak mempunyai rekod kecemerlangan dalam pengurusan.

“Kita tahu mesyuarat diadakan dan cadangan dibuat untuk ADP melabur dalam MAHB dengan menetapkan kerajaan Malaysia sebagai pemegang utama saham dan perjalanan masih ditentukan oleh pihak berkuasa kerajaan. Ini berlaku pada sekitar bulan Mei 2019,” katanya.

Tambah bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu, penjualan MAHB kepada syarikat luar menyebabkan keuntungan dan urusan pintu masuk negara dikawal oleh pihak asing. – UTUSAN ONLINE

Info MAHB:

– MAHB pengendali lapangan terbang ke-4 terbesar di dunia.

– Pulangan saham MAHB 2004 hingga 2017 adalah 17.3% setahun:

Telekom Malaysia: 15.2%

IHH: 14.9%

Tenaga Nasional Berhad: 9.9&

Axiata: 2.7%

UEM: 9.3%

Kategori
BeritaEkonomi