Lagi bintang K-pop terpalit skandal seks

Industri muzik K-pop gempar lagi apabila seorang artis mengaku merakam aksi seks bersama pasangan secara rahsia dan berkongsi rakaman itu di media sosial.

SEOUL: Industri muzik K-pop gempar lagi apabila seorang artis mengaku merakam aksi seks bersama pasangan secara rahsia dan berkongsi rakaman itu di media sosial.

Pemenang tempat kedua sebuah pertandingan nyanyian, Jung Joon-young, 30 mengumumkan persaraan dari dunia hiburan selepas didakwa merakam dan berkongsi imej seksual tanpa keizinan pasangannya.

“Saya mengaku melakukan semua jenayah itu. Saya merakam aksi wanita tanpa pengetahuan mereka dan berkongsi imej itu di ruangan sembang. Saya tidak merasa kesal ketika melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan lewat semalam.

Joon-young adalah seorang daripada tiga artis lelaki yang menyertai satu ruangan sembang di mana sebahagian ahlinya berkongsi gambar perlakuan seksual sekurang-kurangnya 10 wanita yang dirakam secara rahsia, menurut penyiar tempatan SBS.

Pada 2016, Joon-young pernah didakwa merakam video seks bersama pasangan tanpa pengetahuan dan izin. Namun kes itu digugurkan akibat kekurangan bukti selepas wanita terbabit menarik diri.

Agensi Polis Metropolitan Seoul akan menyoal siasat beliau lewat minggu ini, kata pegawai kepada AFP.

Isnin lalu, penyanyi kumpulan BIGBANG, mengumumkan bersara daripada bidang hiburan susulan siasatan jenayah ke atasnya termasuk dakwaan pembabitan beliau dalam skandal seks.

Seungri, 29 yang memiliki francais perniagaan restoran global, dituduh melobi bakal pelabur dengan menawarkan perkhidmatan seks di beberapa kelab malam di kawasan mewah Gangnam di Seoul.

Kategori
DuniaHiburan