Bursa Malaysia terus catat kerugian pada tengah hari

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 383 berbanding 237 dengan 395 kaunter tidak berubah, 972 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Bursa Malaysia terus mencatatkan kerugian pada tengah hari ini disebabkan oleh tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, khususnya yang berkaitan dengan kaunter perladangan dan telekomunikasi, kata seorang peniaga.

Pada tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.16 mata kepada 1,591.12 daripada 1,596.28 semasa ditutup semalam selepas bergerak antara 1,590.48 dan 1,597.61 sepanjang sesi dagangan pagi.

Indeks dibuka 1.33 mata lebih tinggi pada 1,597.61.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 383 berbanding 237 dengan 395 kaunter tidak berubah, 972 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM893.42 juta.

Bagaimanapun, Maybank yang menerajui indeks utama telah mengehadkan indeks daripada diniagakan lebih rendah, naik lima sen kepada RM8.69.

Pelabur, menurut penganalisis, dilihat berusaha mengambil keuntungan dalam sentimen lemah disebabkan perkembangan ekonomi global lebih perlahan susulan peningkatan konflik perdagangan.

“Sentimen lemah yang berterusan telah menyekat minat pelaburan untuk mengambil risiko dan keadaan ini mungkin berlarutan jika tiada pemangkin baharu daripada sentimen domestik dan luaran untuk hala tuju pasaran,” katanya. – BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomi