Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 482 berbanding 200, manakala 373 kaunter tidak berubah, 920 tidak diniagakan dan 19 yang lain

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini susulan aktiviti jualan berterusan yang diterajui saham kewangan termasuk Public Bank, dan juga seiring dengan prestasi lemah bursa serantau, kata para peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.63 peratus atau 9.93 mata kepada 1,564.97 daripada 1,574.90 pada Rabu.

Indeks itu dibuka rendah turun 2.94 mata kepada 1,571.96 dan bergerak antara paras 1,564.17 dan 1,572.04 sepanjang sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 482 berbanding 200, manakala 373 kaunter tidak berubah, 920 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.31 bilion saham bernilai RM579.18 juta.

Maybank IB Research berkata, pasaran serantau yang rendah itu disebabkan oleh penjualan berterusan semalaman di pasaran Amerika Syarikat (AS) susulan data lemah ekonomi AS dan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang membenarkan AS meneruskan tarif tambahan ke atas barangan Eropah.

Terdapat juga laporan berita yang dibimbangi pelabur berhubung perang perdagangan yang berlarutan, dan ia akan menjejaskan pertumbuhan global dan boleh menjerumuskan AS ke dalam kemelesetan.

“Secara teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI terus berada dalam jajaran antara paras 1,550 dan 1,600 hari ini. Sokongan rendah pada jajaran 1,570 dan 1,550,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini. – BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomi