Bursa Malaysia dibuka rendah

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 7.13 mata lebih rendah pada 1,597.17 berbanding 1,604.30 semasa ditutup semalam.

KUALA LUMPUR 18 Sept.- Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dan prestasi bercampur-campur bursa serantau menjejaskan bursa tempatan walaupun kenaikan semalaman dicatatkan Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 7.13 mata lebih rendah pada 1,597.17 berbanding 1,604.30 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 4.73 mata lebih rendah pada 1,599.57.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 110 berbanding 103 dengan 144 kaunter tidak berubah, 1,614 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 122.47 juta unit bernilai RM36.21 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, keadaan keseluruhan pasaran masih berhati-hati, terjejas oleh kekurangan pemangkin baharu daripada sumber tempatan dan asing memandangkan peserta pasaran sedang menunggu perkembangan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang sedang berlangsung sama ada akan menurunkan lagi kadar faedah AS.

“Di tanah air, kami rasa saham minyak dan gas (O&G) akan terjejas sedikit selepas harga minyak jatuh yang mencetuskan kebimbangan kekurangan bekalan.

“Oleh itu, kami masih berpendapat keadaan pasaran bercampur-campur akan berlaku dan ini akan menyaksikan indeks utama meningkat sedikit,” katanya sambil menambah paras sokongan jangka terdekat dijangka pada 1,600 dan 1,590, manakala paras ketahanan masing-masing pada 1,610 dan 1,620.

Firma penyelidikan itu berkata, kedudukan saham barisan rendah dan saham pasaran secara meluas juga kekal tidak sekata kebelakangan ini dan dengan adanya beberapa pemangkin baharu, mungkin akan berada pada aliran jajaran kecil berikutan kurangnya minat baharu untuk belian. – BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomi