Bursa dibuka bercampur-campur

Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham Malaysia mungkin terus mengalami kelegaan dalam jangka terdekat memandangkan pasaran sedang pulih daripada keadaan terlebih jual, walaupun kebimbangan mengenai isu perdagangan AS-China serta prospek pertumbuhan ekonomi global yang lemah masih amat ketara.

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Bursa Malaysia dibuka dengan prestasi bercampur-campur hari ini susulan aktiviti pembelian ketika harga rendah. Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.41 mata kepada 1,609.38, selepas dibuka 0.69 mata lebih rendah kepada 1,611.1.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 134 berbanding 90, manakala 156 kaunter tidak berubah, 1,508 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 118.998 juta unit bernilai RM144.173 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham Malaysia mungkin terus mengalami kelegaan dalam jangka terdekat memandangkan pasaran sedang pulih daripada keadaan terlebih jual, walaupun kebimbangan mengenai isu perdagangan AS-China serta prospek pertumbuhan ekonomi global yang lemah masih amat ketara.

“Prestasi semalaman Wall Street yang positif, ditambah dengan sedikit keredaan terhadap ketegangan perdagangan, akan menyokong sentimen jangka pendek, walaupun prospek pasaran keseluruhannya masih menjadi antara yang diberi perhatian,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Malacca Securities berkata pemulihan berterusan boleh mendorong FBM KLCI kepada paras 1,620, diikuti 1,630.

“Saham berharga rendah dan saham pasaran meluas juga menyaksikan peningkatan semula yang boleh berterusan dalam jangka terdekat kerana sentimen menjadi sedikit lebih baik untuk mendorong aktiviti pembelian semasa harga rendah bagi jangka pendek,” menurut firma itu.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing naik tiga sen kepada RM8.62 dan RM7.40, TNB menambah empat sen kepada RM13.88, IHH Healthcare melonjak 10 sen kepada RM5.78, CIMB menokok satu sen kepada RM5.07, Axiata tidak berubah pada RM4.83 dan Public Bank susut 10 sen kepada RM21.50. Bagi saham paling aktif, DWL Resources meningkat empat sen kepada 65 sen, KNM naik setengah sen kepada 39 sen, Bumi Armada tidak berubah pada 21.5 sen, Genting Malaysia turun 41 sen kepada RM3.20 dan Ekovest berkurangan 1.5 sen kepada 81.5 sen. Enest Group Bhd yang baru disenaraikan di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama naik satu sen kepada sembilan sen, dengan 124,700 unit diniagakan. Indeks FBM Emas turun 8.79 mata kepada 11,383.7, FBM Ace meningkat 7.70 mata kepada 4,625.56, FBM 70 naik 13.58 mata kepada 14,162.87, Indeks FBM Emas Syariah menambah 20.98 mata kepada 11,826.09 dan Indeks FBMT 100 menguncup 10.23 mata kepada 11,216.44. Mengikut sektor, Indeks Perladangan mencatatkan 2.61 mata lebih tinggi kepada 6,582.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.02 mata kepada 15,824.41 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 151.93.- BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomi