Bank Dunia kekal unjuran KDNK Malaysia 4.6 peratus

Mengulas mengenai risiko dan cabaran yang dihadapi Malaysia, Firas berkata, risiko terhadap tinjauan pertumbuhan negara ini berterusan ke arah penurunan.

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.6 peratus tahun ini, di tengah-tengah persekitaran pertumbuhan global yang perlahan.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia itu akan disokong oleh pertumbuhan kukuh berterusan dalam penggunaan swasta di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang stabil.

Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Firas Raad, berkata kelemahan dalam sektor luaran dijangka berterusan dalam jangka terdekat berikutan ketidaktentuan luaran.

Beliau berkata, permintaan global yang lemah bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) akan mengekang pertumbuhan eksport.

“Aktiviti pelaburan dijangka kekal perlahan dengan sektor awam dan swasta terus dengan pendekatan berhati-hati terhadap perbelanjaan modal,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record dan Ahli Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin.

Mengulas mengenai risiko dan cabaran yang dihadapi Malaysia, Firas berkata, risiko terhadap tinjauan pertumbuhan negara ini berterusan ke arah penurunan.

Beliau berkata, pertumbuhan perlahan mendadak daripada dijangkakan dalam ekonomi utama, ketegangan perdagangan yang belum selesai dan kitaran matang teknologi global akan menjejaskan permintaan eksport Malaysia dalam tempoh terdekat.

Katanya, peningkatan ketidaktentuan akan menyumbang kepada sentimen perniagaan yang lemah dan aktiviti sederhana dalam sektor swasta.

“Banyak usaha perlu dilakukan Malaysia untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, termasuk menerusi penyusunan semula insentif cukai, pengembangan cukai pendapatan peribadi dan meluaskan liputan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mengukuhkan penampan fiskal,” katanya.

Kategori
BeritaEkonomi