750 ahli majlis Sarawak angkat sumpah

Dalam ucapannya terdahulu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memberi elaun tetap sebanyak RM300 sebulan kepada setiap ahli majlis tempatan yang dilantik mulai hari ini sehingga 2021

KUCHING, 31 Julai (Bernama) — Seramai 750 ahli majlis tempatan di Sarawak mengangkat sumpah di sini hari ini.

Seramai 314 orang ahli terbabit atau lebih 40 peratus adalah muka baharu.

Majlis itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari memberitahu pemberita, jawatan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) akan dilantik tidak lama lagi.

“Ini kerana (tempoh jawatan Datuk Bandar dan pengerusi sedia ada) akan sehingga penghujung Ogos,” katanya.

Dalam ucapannya terdahulu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memberi elaun tetap sebanyak RM300 sebulan kepada setiap ahli majlis tempatan yang dilantik mulai hari ini sehingga 2021.

Sementara itu mengenai Indonesia bercadang untuk memindahkan ibu negaranya di Jakarta ke Kalimantan, Abang Johari berkata kerajaan negeri bersedia membantu Indonesia sekiranya cadangan terbabit direalisasikan.

“Kalau ibu negara mereka (Indonesia) terletak di Kalimantan, sudah tentu kita boleh bekerjasama dengan menteri mereka tentang apa keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika ini Sarawak ada membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan dan bersedia meningkatkan bekalan itu sekiranya ada permintaan dan negeri ini juga ada lebihan bekalan elektrik.

— BERNAMA

Kategori
BeritaBorneo