Selain itu, Kim Swee turut melepaskan pemain pertahanan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak dan pemain tengah, Syamer Kutty Abba gara-gara ditimpa masalah kecede­raan.

Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, beliau tetap positif di sebalik kehila­ngan khidmat Davies dan Azam selepas menaruh kepercayaan kepada trio Kedah, Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid dan Rizal Ghazali.

“Dua pemain ini (Davies dan Azam) saya anggap tidak hadir dan kita tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang pemain-pemain tidak hadir. Seperti dikatakan semalam (kelmarin) saya perlu fokus kepada pemain-pemain yang sedia ada.

“Hari ini (semalam) dua pemain telah digugurkan (iaitu) Aidil dan Syamer yang me­ngalami kecederaan. Selepas berbincang dengan pihak perubatan, kita mendapati mereka harus memiliki masa cukup panjang untuk pulih.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk menggugurkan dua pemain ini dan Baddrol serta Akhyar juga telah berlatih bersama kita.

“Kita tahu Davies dan Azam merupakan pemain yang pen­ting terutama apabila kita lihat dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China baru-baru ini. Mereka merupakan pemain cukup konsisten.

“Walaupun tanpa mereka, mungkin kita akan berasa sedikit impak tetapi pada masa sama, kita mempunyai Baddrol yang saya percaya mampu menggalas tugas Azam dan Rizal mampu mengambil tempat Davies,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee yang akan bertolak ke China dengan membawa 23 pemain Khamis ini memberitahu, Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak menyertai pasukan kerana akan menjalani sesi percubaan bersama kelab Jepun pada Isnin ini.

“Buat masa ini tiada pemain yang saya akan gantikan kerana kita mempunyai masa yang cukup singkat.

“Saya tak nampak ada pemain lain yang boleh menggantikannya walaupun saya mempunyai Shahrul Saad tetapi dia mengalami kecederaan dan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Kemungkinan besar saya akan membawa dua pemain lebih umur dan yang lain terpaksa di­tinggalkan kerana masalah kecederaan,” katanya.