ISU MENIFESTO PASCA PILIHAN RAYA KECIL

Pengundi muda pada PRK  kali ini dilihat tidak seghairah ketika PRU yang baharu berlalu

Pilihan raya kecil (PRK)  pertama kali selepas berlangsungnya pilihan raya umum ini benar-benar menggambarkan keletihan pengundi.  Hal ini kerana cuma 49.4 peratus pengundi turun mengundi belum sampai tempoh 100 hari selepas kemenangan Pakatan Harapan

Saluran pengundi muda pada PRK  kali ini dilihat tidak seghairah ketika PRU yang baharu berlalu. Pengundi muda lebih dinamik dan kritis khususnya apabila penawaran manifesto untuk anak muda pada PRU lalu belum  lagi terserlah dari segi pelaksanaan dalam tempoh 100 hari. Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) misalnya, peminjam masih dikehendaki membayar balik pinjaman  walaupun gaji masih kurang RM4000 sehinggalah selepas kajian yang lebih teliti dijalankan.

Malah Perdana Menteri sendiri mengakui tidak sepenuhnya 10 janji  dalam tempoh 100 hari dapat dilaksanakan. Isu manifesto bukan kitab suci  dan hambatan kewangan negara merupakan alasan kegagalan 10 janji dan ini mempengaruhi  daya tarik sentimen pengundi untuk turun mengundi. Kemerosotan jumlah undi juga seolah-olah isyarat pengundi terhadap pucuk pimpinan PH yang dilihat kurang mampu menunaikan 10 janji manifesto PRU14 yang lalu. Jumlah undi merosot ketika PRK adalah perkara yang biasa berlaku namun pada PRK Sg Kandis kemerosotan agak luar biasa. Inilah PRK kedua paling rendah dalam sejarah PRK negara. Pengundi sudah letih berpolitik.

Tarikan pengundi keluar mengundi kerana faktor manifesto ketika  pilihan raya umum baru-baru ini. Namun dari segi pelaksanaan sukar dilaksanakan menyebabkan mereka rasa terkilan dan ia antara punca pengundi  berasa malas untuk keluar mengundi. Selain itu, ia juga satu bentuk protes pengundi apabila isu-isu agama dan kaum dimainkan dalam kempen BN juga mempengaruhi pengundi khususnya penyokong BN dan Pas.

Di satu pihak pula, isu agama yang dimainkan oleh BN dianggap melampau dan ditafsir secara sempit. Buktinya, apabila isu kristianisasi dimainkan ahli parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman  pada malam terakhir kempen didapati gagal. Jumlah menyokong BN dalam undi PDM tempat tersebut didapati merosot kerana dianggap satu kempen politik yang melampau yang kurang dapat diterima oleh pengundi BN dan PAS itu sendiri.  Seolah-olah juru kempen Umno tidak belajar kesilapan mereka terlalu memfokuskan tentang serangan terhadap kepimpinan Azmin dalam isu air, sampah dann denggi yang melampau hingga pengundi simpati kepada pentadbiran Azmin pada pilihan raya umum baru-baru ini yang menyebabkan BN hanya menang 4 kerusi berbanding 12 kerusi di Selangor.

Jumlah pengundi DUN Sungai Kandis hasil daripada persempadanan semula. Sebelum ini hanya 45 peratus pengundi Melayu ditambah  menjadi 70 peratus pengundi Melayu. Isu-isu sensitif mengenai kepentingan Melayu, didakwa pendatang, pengurangan kuasa politik Melayu tidak digunakan secara bermanfaat.

Meskipun PRK ini membuktikan Pakatan Harapan masih relevan, namun keupayaan pembangkang memperoleh undi hampir 10 ribu pengundi  daripada 25 ribu yang mengundi perlu dilihat secara serius oleh PH. Ternyata UMNO dan PAS masih mempunyai penyokong yang setia dan sekiranya ini berterusan boleh membawa kepada ancaman kepada PH dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Namun gabungan UMNO dan PAS perlu diperkukuhkan dan perlu melupakan permusuhan tradisi mereka sekiranya ingin bergerak jauh untuk mengubah landskap politik negara dan kembali berkuasa sebagai gabungan kerjasama yang strategik.

 

Kategori
Rencana