AKAN DITELITI, AKAN DIKAJI SEMULA, TEKS JAWAPAN POPULAR KERAJAAN PH

Hal ini tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak menjawab soalan yang diajukan.

“Akan diteliti. Atau akan dikaji semula.” Itulah jawapan paling popular kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan di Dewan Rakyat. Seolah-olah jawapan itu menyelamatkan keadaan serta benteng pantas untuk menjawab soalan yang diajukan.

Sejak hari pertama lagi, inilah jawapan popular Menteri dan Timbalan Menteri apabila diajukan soalan oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Kelmarin sekali lagi jawapan popular itu kedengaran dan ia diberikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berhubung status terkini tol yang akan dimansuhkan bagi meringakan beban rakyat.

Menurut Jalaluddin, jawapan ‘akan diteliti’ atau ‘akan dikaji semula’ yang sering diberikan kerajaan PH tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak menjawab soalan yang diajukan.

“Rakyat tunggu janji yang kerajaan PH buat untuk menghapuskan tol. Jika tak mampu nak buat pemansuhan secara keseluruhan, sekurang-kurangnya berikan penjelasan sejauh mana ‘engagement’ diantara kerajaan dan konsesi tol telah melakukan perbincangan.

“Apakah antara langkah lain yang dijalankan oleh kerajaan PH untuk menghapuskan tol. Bukan teliti dan kaji sahaja. Ini tak selesaikan masalah,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan ketika sesi jawab.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan PH perlu memberi jawapan terhadap janji untuk menghapuskan tol ini dan jika ia tidak boleh dilaksanakan maka kerajaan PH perlu menarik balik janji tersebut.

“Jika janji ini tidak boleh dilakukan, tarik balik manifesto. Kalau tak boleh nak hapus semua, bagi rebat 50 peratus kepada pengguna, bukan hanya pada hari perayaan, tetapi juga sepanjang masa,” katanya lagi seperti dilapor portal Umno.

Kategori
Rencana