100 HARI: KERAJAAN PH HANYA DAPAT MARKAH KESIAN

suaram hanya memberikan 20 markah untuk kad laporan janji 100 hari kerajaan PH

KUALA LUMPUR: Kalau berdasarkan markah yang diberi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kepada Pakatan Harapan, ternyata kerajaan baharu yang menggantikan Barisan Nasional (BN) gagal dalam seratus hari pemerintahannya.

Suaram hanya memberikan 20 markah untuk kad laporan janji 100 hari kerajaan PH.

Angka ini dibentangkan kepada media dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Lebih separuh daripada 10 janji selepas kemenangan pada pilihan raya lalu tidak ditunaikan, menurut sebuah portal.

Menurut Penasihat Suaram, Dr. Kua Kia Soong kerajaan dilihat sengaja melengah-lengahkan agenda reformasi yang dikehendaki rakyat.

Ini, katanya, sesuatu yang tidak dapat diterima.

Ujarnya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan cenderung melaksanakan perkara yang tidak terkandung dalam manifesto, termasuk projek kereta nasional ketiga.

“Kita juga melihat bahawa trend dalam membuat keputusan oleh kerajaan hari ini bersifat autokratik, seolah-olah sama seperti ketika era pentadbiran 1.0 Dr. Mahathir,” jelasnya.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Kategori
Rencana