Sekat Dana: PAS Libatkan Istana Satu Penghinaan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganggap tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi melibatkan pihak istana dalam isu pembekuan peruntukan terhadap 13 ADUNnya di negeri itu sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja Selangor.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganggap tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi melibatkan pihak istana dalam isu pembekuan peruntukan terhadap 13 ADUNnya di negeri itu sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja Selangor.

“Ini satu penghinaan kepada istana,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Himpunan Rakyat sempena 10 tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah Selangor, di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

Sallehen pada Isnin lalu telah mengemukakan surat rasmi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakan kerajaan negeri itu.

Sallehen sebelum itu memberitahu tindakannya itu adalah bagi memaklumkan tekanan yang dihadapi wakil rakyat PAS.

Ujar Sallehen, pihaknya sudah memberikan masa yang secukupnya pada Azmin namun sudah masuk bulan ketiga (Mac), hak ADUN PAS untuk mendapat peruntukan wakil rakyat terus dinafikan.

Bukan sahaja menulis surat kepada Sultan Selangor, Sallehen berkata pihaknya mahu Jabatan Audit Negeri dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan wujud salah laku dalam urusan pentadbiran negeri itu.

Mengulas lebih lanjut isu itu, Azmin seakan  menepis dakwaan bahawa kerajaan negeri yang dipimpinnya itu benar-benar menyekat peruntukan terhadap kesemua ADUN PAS berkenaan.

Katanya, sedangkan ADUN Barisan Nasional (BN) di Selangor menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, tidak mungkin pula ADUN PAS disekat peruntukan mereka.

“Kalau Umno pun saya beri peruntukan, (sedangkan) parlimen pun saya tidak dapat peruntukan tapi satu-satunya negeri yang beri peruntukan pada pembangkang negeri Selangor.

“Umno pun saya beri, tak mungkin dekat PAS saya tidak beri, cuma ikut prosedur dan peraturan, ini duit rakyat,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, sehingga kini kebanyakan ADUN PAS di Selangor menggunakan wang peribadi bagi membiayai projek-projek untuk rakyat, malah ada yang terpaksa menangguh pembangunan yang sudah dirancang.

Azmin sebelum ini berkata, kelambatan ADUN PAS menerima dana adalah kesilapan teknikal.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Azmin mengesahkan dirinya bersedia untuk diletakkan sebagai calon di mana-mana kerusi di Selangor.

Kenyataan Azmin ini sekaligus menolak untuk beliau dicalonkan di negeri lain

“Saya ada tiga pilihan, Bukit Antarabangsa, Gombak atau mana-mana kerusi di Selangor

“Maknanya saya dah pilih untuk tidak pergi ke Pekan dan Bagan Datuk, biar saya fokus di Selangor,” katanya.

 

 

Kategori
Politik