Najib luah rasa hati, harapan pada rakyat Malaysia

"Saya sayangkan setiap rakyat Malaysia dan memikirkan tentang masa depan saudara-saudari,"

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu meluahkan rasa yang terbuku di hatinya kepada rakyat Malaysia dengan menjelaskan apa yang dilakukan olehnya selama ini adalah untuk memberikan yang terbaik kepada setiap rakyat di negara ini.

Dalam video terbaharu yang dimuat naik di laman YouTube bertajuk ‘Dari Hati ke Hati’, Najib dengan tenang dan rendah diri turut meminta rakyat memahami dan tidak beranggapan buruk secara terus menerus terhadap beliau.

“Saya ingin bertutur secara terang kepada rakyat Malaysia, saya ingin menyatakan saya sudah berusaha sedaya upaya untuk semua rakyat.

“Saya sayangkan setiap rakyat Malaysia dan memikirkan tentang masa depan saudara-saudari,” katanya dalam rakaman video berdurasi 2.48 saat itu.

Rakaman video berkenaan antara pendekatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu untuk mendekati rakyat melalui pautan media sosial, dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbaki enam hari lagi.

Antara mesej yang disampaikan Najib adalah hasratnya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima kemudahan kesihatan antara terbaik dan termurah di dunia.

“Dari bangku sekolah hingga ke menara gading, saya ingin rakyat Malaysia yang berkemampuan dari segi kewangan untuk mendapatkan pendidikan bertaraf antarabangsa agar dapat mengubah nasib keluarga mereka dan sekiranya mereka tidak mampu, kita akan membantu mereka,” katanya.

Najib berkata, sebagai perdana menteri, beliau juga mahu setiap rakyat mendapatkan pekerjaan dengan pelaksanaan projek perangsang ekonomi dan infra rakyat selain mempertingkatkan pendapatan para profesional melalui program pendidikan profesional yang dibiayai kerajaan.

“Saya turut ingin rakyat Malaysia memiliki rumah dan berusaha menyediakan rumah mampu milik supaya rakyat dapat membina keluarga yang bahagia.

“Sekiranya mereka berniaga, saya ingin setiap pengusaha mempunyai modal dan latihan agar perusahaan mereka berjaya,” katanya.

Demi kepentingan agama Islam dan kekeluargaan, rakyat yang beragama Islam mahu dipastikan agar dapat mengerjakan ibadat di masjid yang indah serta mampu dari segi kewangan untuk menunaikan fardhu haji serta setiap keluarga hidup dalam keadaan bahagia, aman dan harmoni.

Dalam rakaman video berkenaan, Najib juga mengakui sebagai manusia biasa, beliau mempunyai kelemahan namun bersedia menerima segala kritikan dengan hati terbuka serta berjanji untuk terus memperbaiki diri sebaik mungkin.

Namun, katanya, ada juga tuduhan yang melulu dan tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Saya dengan rendah diri meminta agar rakyat memahami dan tidak beranggapan buruk secara terus menerus. Sesungguhnya saya mengabdikan diri saya kepada Allah SWT, berjuang demi agama, bangsa dan negara yang tercinta,” katanya mengakhiri video berkenaan.

— BERNAMA

Kategori
Nasional