Isu kekurangan tenaga buruh di Cameron Highlands membimbangkan – Sivarraajh

"Ada kajian mendapati, Cameron Highlands kini menyumbang kira-kira RM5 bilion kepada KDNK.

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan tenaga buruh di Cameron Highlands ketika ini berada di tahap membimbangkan selain memerlukan perhatian serius kerajaan.

Penyelaras Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, kajian dan analisis perlu dilakukan pihak berwajib berkaitan masalah itu dalam mencari jalan penyelesaian segera.

“Kekurangan 50 peratus tenaga buruh pada ketika ini akan memberikan kesan besar kepada produktiviti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membabitkan kawasan Cameron Highlands yang terkenal dengan sumber ekonomi berasaskan pertanian dan pelancongan.

“Ada kajian mendapati, Cameron Highlands kini menyumbang kira-kira RM5 bilion kepada KDNK.

“Kerajaan dan pihak berwajib perlu memastikan kawasan ini terus mendapati perhatian dan masalah kekurangan tenaga buruh dapat diatasi dan tidak berulang pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan keluhan wakil Persatuan Koperasi Pertanian Cameron Highlands, Wong Seng Yee yang memberitahu, kekurangan tenaga kerja di Cameron Highlands mengancam sektor pertanian.

Jelas Seng Yee, ia boleh menyebabkan kerugian kepada petani dan kenaikan harga sayur-sayuran.

“Walaupun kekurangan tenaga kerja itu adalah biasa, namun kali ini ia lebih teruk di mana kekurangan tenaga kerja adalah kira-kira 50 peratus.

“Petani menghadapi masalah teruk di pasaran dan masalah pengeluaran, terutama mereka yang mengeksport produk mereka.

“Kekurangan tenaga kerja menangguhkan penuaian dan penanaman semula, dengan itu mengurangkan hasil, yang bermaksud mereka tidak dapat memenuhi kewajiban kontrak mereka,” katanya.

Dalam pada itu tegas Sivarraajh yang juga Ketua Pemuda MIC, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengkaji semula nisbah berkaitan pembahagian tenaga buruh bagi setiap hektar di seluruh negara khususnya di Cameron Highlands.

“Ketika ini, nisbah enam pekerja atau tenaga buruh bagi satu hektar (6 pekerja: 1 hektar) adalah tidak mencukupi dalam meningkatkan produktiviti tenaga yang kompetitif sekali gus menjejaskan hasil pertanian.

“Nisbah itu seharusnya ditingkatkan kepada 12 tenaga buruh bagi satu hektar. Peningkatan ini akan memberi nilai dalam menambahkan hasil pertanian dan perladangan yang lebih besar,” ujarnya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan negara merekodkan pe­ningkatan produktiviti buruh sebanyak 4.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini disumbangkan oleh empat sektor utama iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Jelas Datuk Seri Najib, pencapaian tersebut lebih tinggi da­ripada sasaran purata pertum­buhan tahunan sebanyak 3.7 pe­ratus yang ditetapkan di ba­wah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Datuk Seri Najib juga memberitahu, secara keseluruhannya pencapaian produkti­viti buruh setakat ini memberangsangkan dan selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai ekonomi yang didorong oleh produktiviti.

Kategori
BeritaNasional