NASA lancar misi ‘sentuh matahari

94 TAMPA: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) hari ini melancarkan kapal angkasa berharga AS$1.5 bilion (RM6.13 bilion) menuju matahari dalam misi bersejarah melindungi bumi dengan...

TAMPA: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) hari ini melancarkan kapal angkasa berharga AS$1.5 bilion (RM6.13 bilion) menuju matahari dalam misi bersejarah melindungi bumi dengan mendedahkan misteri ribut suria berbahaya.

“Tiga, dua, satu, kosong dan berlepas! Roket berat Delta IV bersama Parker Solar Probe (Kapal Angkasa Suria Parker) NASA berlepas dalam misi berani mendedahkan misteri bintang terhampir kita iaitu matahari,” kata pengacara NASA TV.

Pelancaran itu menghiasi langit malam di Cape Canaveral, Florida jam 3.31 pagi waktu tempatan.

Kurang sejam kemudian, pengurus misi mengesahkan kapal angkasa berpisah daripada roket seperti dirancang dan selamat dalam perjalanan.

“Pada peringkat ini, kapal angkasa dalam perjalanan menuju destinasi,” kata jurucakap United Launce Alliance, syarikat yang mengendalikan roket.

Misi kapal angkasa tanpa pemandu itu ialah berada lebih hampir berbanding objek buatan manusia lain ke pusat sistem suria, menjunam ke dalam atmosfera matahari, dikenali korona dalam misi tujuh tahun.

Kapal angkasa itu dilindungi pelindung haba ultra yang mampu menahan paras haba tidak dijangka dan radiasi 500 kali ganda berbanding dirasai di bumi.

NASA menggelar misi itu sebagai kapal angkasa pertama ‘menyentuh matahari.’

Secara realitinya, ia mungkin berada pada jarak 6.16 juta kilometer di permukaan matahari, cukup hampir untuk mengkaji fenomena angin suria dan atmosfera, dikenali korona, 300 kali ganda lebih panas berbanding permukaan.

Kapal angkasa bersaiz sebuah kereta itu akan memberi saintis pemahaman lebih baik mengenai angin suria dan ribut geomagnetik yang berisiko mencetuskan huru hara di bumi dengan menumbangkan grid kuasa.

“Kapal Angkasa Suria Parker akan membantu kami melakukan tugas lebih baik meramalkan bilakah gangguan angin suria menyerang bumi,” kata Prof Justin Kasper, seorang saintis projek dan penyelidik di Universiti Michigan.

Mengetahui lebih lanjut mengenai angin suria dan ribut angkasa lepas juga dapat membantu melindungi peneroka angkasa lepas akan datang ketika mereka melakukan perjalanan menuju bulan atau Marikh. -AFP

Kategori
BeritaDunia