Mahkamah AS tolak tangguh hukuman mati pembunuh kanak-kanak

73 CHICAGO : Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman mati seorang pembunuh dan perogol kanak-kanak, sekali gus mengenepikan kebimbangan bahawa tertuduh akan mengalami keadaan yang...

CHICAGO : Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman mati seorang pembunuh dan perogol kanak-kanak, sekali gus mengenepikan kebimbangan bahawa tertuduh akan mengalami keadaan yang sama seperti dibakar hidup-hidup.

Namun keputusan mahkamah tertinggi itu tidak dipersetujui Hakim Sonia Sotomayor yang mempersoalkan jika hukuman dirancang ke atas Billy Ray Irick itu terlalu menyakitkan dan keputusan membenarkan ia dijalankan bermakna menyokong kekejaman.

Penolakan mahkamah terhadap rayuan Irick bermakna hukuman ke atas tertuduh akan dijalankan hari ini di Tennessee.

Lelaki berusia 59 tahun itu disabitkan dengan kesalahan membunuh dan merogol Paula Dyer, 7 tahun pada 1986. Peguam bela tertuduh dalam hujah pembelaan mendakwa anak guamnya memiliki sejarah penyakit mental yang serius.

Dalam rayuan kepada Mahkamah Agung, peguam Irick turut mencabar protokol suntikan maut Tennessee yang mencakupi penggunaan ubat bius midazolam. Beberapa negeri lain turut menggunakan dadah jenis itu dengan pelbagai keputusan berbeza.

Hakim Mahkamah Agung, Hakim Elena Kagan menolak rayuan berkenaan tanpa sebarang komen. Hakim Sonia Sotomayor yang memetik testimoni mahkamah rendah mengenai potensi risiko suntikan midazolam tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Pakar perubatan memberi amaran, penggunaan dadah itu berkemungkinan tidak cukup kuat untuk membuatkan banduan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas disuntik. – AFP

Kategori
BeritaDunia