MEI FEN JATUH SAKIT

Mei Fen, yang memegang watak sebagai Ying Feng mengakui tugasnya kali ini lebih berat berbanding pementasan sebelumnya yang pernah diadakan di Panggung Eksperimen, Aswara, pada Januari lalu.

TERAJU utama teater Tanah Akhirku, Mei Fen, yang memegang watak sebagai Ying Feng mengakui tugasnya kali ini lebih berat berbanding pementasan sebelumnya yang pernah diadakan di Panggung Eksperimen, Aswara, pada Januari lalu.

“Watak Ying Feng sangat mencabar, malah menuntut saya untuk memberikan sesuatu yang lebih daripada apa yang saya bayangkan.

“Memang karakternya sangat dekat dengan diri saya secara realitinya, tetapi untuk naskhah ini Ying Feng adalah gadis yang hidup di tahun 1900. Jadi saya harus menjelmakan karakter dan fizikal gadis pada zaman ini sedekat yang boleh.

“Namun paling sukar tentunya menjayakan babak-babak emosi termasuk babak rogol yang memerlukan sepenuh penghayatan, malah energi yang betul agar penonton dapat merasai kesengsaraan dilalui Ying Feng,” ujar Mei yang kini giat belajar tarian opera.

Tidak mahu menghampakan harapan banyak pihak yang memberi peluang kepadanya, Mei yang sebelum ini pernah tampil menerusi teater Takhta 3 Ratu, arahan Erma Fatima, cuba memberikan sepenuh perhatian menerusi latihan berterusan sehingga jatuh sakit baru-baru ini.

“Naskhah Tanah Akhirku adalah segala-galanya bagi saya. Jadi saya mahu memastikan pementasan ini berjalan dengan lancar, malah watak Yin Feng yang saya bawakan juga akan memberikan impak yang baik buat penonton.

Kategori
Hiburan