JADILAH DIRI SENDIRI KATA AMYLEA

Penyanyi Amylea, mungkin ramai yang beranggapan bahawa dia sudah tenggelam dengan lambakan pelapis baharu.

SEBUT sahaja nama penyanyi Amylea, mungkin ramai yang beranggapan bahawa dia sudah tenggelam dengan lambakan pelapis baharu.

Walau bagaimanapun, anggapan itu ternyata silap. Ini kerana Amylea sebenarnya sibuk menghasilkan lirik dan lagu ciptaannya.

Sedekad berlalu, kini pemenang tempat ketiga program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) kembali bersinar dengan single duet pertama bersama penyanyi, Kaer Azami AF2, Tak Pernah Hilang.

Lagu ini juga merupakan runut bunyi drama bersiri popular Nur.

Menyedari sudah lama tidak muncul, Amy tetap optimis dalam usaha untuk menarik peminat baharu.

“Saya rasa senang sahaja sebab sekarang ini zaman teknologi, setiap apa yang kita kongsikan mereka boleh tahu.

“Jadi, saya tak meletakkan tekanan kepada diri semata-mata mahu mencari peminat baharu.

“Mereka sendiri yang akan datang kalau kita berikan kualiti lagu yang bagus, InsyaALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.

Amy juga berkata, karya yang baik adalah hasil tanpa perlu mengikuti kehendak pendengar semata-mata, bahkan meniru juga tidak perlu.

“Jangan buat lagu sekadar nak mengikuti kemahuan pendengar, ikhlaslah dengan setiap karya sendiri.

“Bukan itu sahaja, tiru orang lain pun tak perlu, kalau rap kita pun rap,” jelasnya jujur.

Kategori
Hiburan