DUNIA LEBIH BERBAHAYA BERBANDING 2 TAHUN LALU

4,241 LONDON: Ramai orang beranggapan dunia lebih berbahaya berbanding dua tahun lalu, ketika kebimbangan membabitkan keganasan bermotif politik dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) semakin meningkat, menurut satu tinjauan diterbitkan...

LONDON: Ramai orang beranggapan dunia lebih berbahaya berbanding dua tahun lalu, ketika kebimbangan membabitkan keganasan bermotif politik dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) semakin meningkat, menurut satu tinjauan diterbitkan kelmarin.

Dalam tinjauan dijalankan Global Challenges Foundation, enam daripada 10 responden berkata, situasi berbahaya kian meningkat dengan konflik serta senjata nuklear atau kimia dilihat risiko mendesak berbanding masalah pertumbuhan populasi atau perubahan iklim.

Keputusan tinjauan itu diterbitkan ketika pemimpin Pertubuhan Perjanjian Kerjasama Atlantik Utara (NATO) bertemu di Brussels, Belgium semalam di tengah ketegangan meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan negara anggotanya berhubung perbelanjaan pertahanan, dibimbangi sesetengah pihak mungkin menjejaskan moral dan memberi manfaat kepada Russia.

“Jelasnya sistem kerjasama global semasa tidak lagi menjadikan rakyat merasa selamat,” kata Naib Pengerusi yayasan berkenaan, Mats Andersson dalam satu kenyataan.

Andersson berkata, pergolakan antara kuasa NATO dan Russia, konflik di Syria, Yaman dan Ukraine serta ketegangan nuklear dengan Korea Utara dan Iran menjadikan orang ramai merasa semakin tidak selamat.

Satu tinjauan berasingan dijalankan yayasan itu selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bertemu Presiden AS, Donald Trump, mendapati sebahagian besar rakyat tidak yakin.

Kurang satu pertiga daripada hampir 5,000 responden melaporkan merasa tidak bimbang mengenai senjata pemusnah.

“Kemungkinan perang berlaku wujud. Kita mengalami banyak situasi tidak stabil dan ia sering kali menjadi petunjuk kepada peperangan.

“Dua kuasa utama dunia mengganggu peraturan sedia ada. Kita melihat pencerobohan Ukraine oleh Russia dan kita melihat AS memulakan perang perdagangan, memutuskan perjanjian yang cuba dipatuhi kita,” kata Pengarah Keselamatan Antarabangsa kumpulan pemikir Chatham House.

Daripada 1,000 responden yang ditinjau di Russia sebagai sebahagian analisis yayasan itu, 91 peratus beranggapan WMD adalah risiko terbesar terhadap keadaan tidak selamat di peringkat global.

Penemuan tinjauan itu adalah berdasarkan maklum balas daripada lebih 10,000 responden di 10 negara ditinjauh firma pengundian ComRes pada April tahun ini. -Reuters

Kategori
BeritaDunia