RAZALI DOLHAN LEPAS JAWATAN SETIAUSAHA AGUNG FAS

Tindakan ini diambil selari nasihat Pesuruh Jaya Sukan Malaysia

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) semalam mengumumkan peletakan jawatan Razali Dolhan sebagai Setiausaha Agungnya berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan ini diambil selari nasihat Pesuruh Jaya Sukan Malaysia bahawa mana-mana Exco tidak dibenarkan memegang lebih daripada satu jawatan tertinggi dalam mana-mana persatuan sukan di negara ini.

Razali merupakan Naib Presiden FAS, yang kemudian dilantik Setiausaha Agung.

“Pihak FAS akur dengan ketetapan yang telah dinyatakan dan menerima keputusan yang telah dibuat beliau demi kepentingan persatuan,” kata FAS dalam satu kenyataan.

Razali bagaimanapun akan terus melaksanakan fungsi Naib Presiden.

“Pihak FAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala usaha dan komitmen beliau selama memegang jawatan Setiausaha Agung.

Tugas tersebut kini dipangku oleh Setiausaha Eksekutif FAS, Jeffery Lana sehingga ia diisi.

“Pihak persatuan ingin menjemput mana-mana pihak atau individu yang berminat untuk mengisi jawatan tersebut sepenuh masa agar menghantar permohonan kepada kami dengan kadar segera.

“Pihak kami juga ingin mengumumkan bahawa Abang Wahab Rahim dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak Sarawak pada musim 2018 dan Abang Abdul Rahman Abang Naim sebagai Bendahari.

Ia mengisi segala kekosongan yang dihadapi oleh persatuan ini untuk tahun kedua, selepas tahun pertama berhadapan masalah mencari Presiden.

FAS kini diterajui Datuk Posa Majais.

Kategori
Borneo