PRU14: Abang Jo Arah Ahli Parlimen Dan Bakal Calon BN Sarawak Beku Cuti, Turun Padang

Tarikh pilihan raya itu sudah semakin hampir dan semua jentera perlu ‘turun padang’.

KUCHING:  Pilihan Raya Umum Ke-14 akan berlangsung seawal-awalnya April dan selewat-lewatnya awal Mei, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Menurutnya, beliau baharu berjumpa empat mata dengan Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tiga hari lalu dan hari ini (semalam) telah mengarahkan penyandang dan calon-calon berpotensi agar tidak bercuti ke luar negara.

“Sik lamak agik ‘gong’ tok. Untuk ahli parlimen kita, kita harap kemenangan yang besar.

“Kita sapu bersih kerusi PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Perhimpunan Agung PBB ke-14 di Hotel Hilton malam tadi.

Ketika ini, PBB memiki 14 daripada 25 kerusi Parlimen yang ada di Sarawak.

Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Ketua Menteri Sarawak memberitahu, tarikh pilihan raya itu sudah semakin hampir dan semua jentera perlu ‘turun padang’.

“Pada pilihan raya ini, kita akan mengambil kira sumbangan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, dan bandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

“Ini kerana Tun M akan memimpin Pakatan Harapan.

Katanya, sumbangan Najib amat besar kepada Sarawak kerana beliau bukan sahaja telah melawat negeri ini 59 kali, sepanjang pentadbirannya, malah membuka pintu untuk perundingan hak Sarawak, dan mengembalikan hak yang terambil secara ‘sengaja dan tidak sengaja’ kepada negeri ini.

“Ini berbeza dengan Tun M. Kalau dahulu, jika kita bercakap mengenai hak Sarawak, pasti ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sebab itu tiada yang berani,  apatah lagi bercakap soal petroleum dan gas,” katanya lagi.

Ini katanya, berbeza dengan Najib yang agak terbuka dan liberal.

“Rundingan dibenarkan dan beliau memiliki prinsip, apa yang menjadi hak Sarawak kekal sebagai hak Sarawak.

Pada masa yang sama katanya, Pakatan Harapan turut menjanjikan desentralisasi.

“Tetapi ketika pentadbirannya, mereka hendak ambil Sesco, seperti mereka mengambil Lembaga Letrik Sabah (LLS).

“Mujurkita, Tun Abdul Taib Mahmud bijak, meminta Tun M membayar ganti rugi aset untuk kita bangunkan Sesco iaitu RM1 bilion, yang mana gagal beliau lunaskan.

Sebaliknya katanya, Najib berfikiran terbuka apabila Abang Johari pada tiga bulan pertama sebagai Ketua Menteri mengusulkan pengambilalihan semula Empangan Hidroelektrik Bakun.

Abang Johari turut mendedahkan betapa bank-bank milik Sarawak seperti Hock Hua Bank, Bank Utama Berhad dan Kwong Lee Bank ‘lenyap’ hasil penggabungan institusi bank sewaktu Tun M menjadi Perdana Menteri.

“Ini buktinya mereka tidak akan dapat laksanakan desentralisasi.

“Jadi pastikan pisang tidak berbuah dua kali,” tegasnya.

Kata Abang Johari lagi, setiap pemimpin dan ahli PBB harus “mempertahankan’ hak Sarawak.

“Kita mesti berdiri di atas kaki sendiri. Destinasi Sarawak perlu ditangani oleh rakyat Sarawak, bukan orang lain.

“Kita perlu kerajaan yang kuat. Kerajaan yang stabil selepas PRU14 dan BN ada pengalaman itu.

“Semua parti yang berpusat di Sarawak perlu bersatu dan bekerjasama.

Katanya, beliau beriltizam untuk tidak mensia-siakan mandat yang diberi kepadanya.

“Saya akan laksanakan bahagian saya. Tetapi saya perlu bantuan dan sokongan semua.

“Kepada yang pakar dalam semua bidang, tolongkan saya kerana apa yang kita hendakkan ialah negeri Sarawak yang maju pada 2030,” tambahnya lagi.

Kategori
Borneo