Polis Nasihatkan Kenedy Morie Serah Diri Kerana Sebar Video Palsu Kes Bunuh Di Sri Aman – Dev

Amaran kepada pengguna media sosial agar berhenti menyebarkan berita palsu ini, yang dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan dan pertuduhan

KUCHING: Polis Sarawak hari ini meminta seorang pemilik akaun facebook menyerah diri di balai polis berdekatan, susulan penyebaran video palsu aktiviti memotong kepala, yang kemudian dikaitkan dengan kejadian jenayah kepala wanita dipenggal di Sri Aman.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, pengguna facebook yang menggunakan nama Kenedy Morie dinasihatkan berbuat demikian bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya menyedari akan penyebaran klip video tersebut yang memaparkan wanita ditikam dan dipenggal kepalanya oleh lelaki bertopeng.

“Pengguna facebook ini kemudian secara salah mengaitkan video ini kepada insiden kepala ditemui di tebing Batang Lupar, berhampiran Skait Sri Aman.

Kata Dev, pihaknya telah menyiasat kesahihan video tersebut dan mendapati ia berlaku di Amerika Selatan, dan langsung tidak berkaitan dengan kes di Sri Aman.

“Satu laporan polis telah dibuat berkait penyebaran video tersebut dan kita sedang melakukan siasatan terhadap kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita juga memberi amaran kepada pengguna media sosial agar berhenti menyebarkan berita palsu ini, yang dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan dan pertuduhan kes bunuh,” tegasnya.–Sarawakvoice

Kategori
Borneo