1,600 dipindah di Perancis akibat banjir kilat

70 MARSEILLE: Beratus penyelamat dibantu helikopter memindahkan kira-kira 1,600 orang, kebanyakannya kumpulan perkhemahan di tiga rantau di selatan Perancis apabila hujan lebat mencetuskan banjir kilat serta menukar sungai dan...

MARSEILLE: Beratus penyelamat dibantu helikopter memindahkan kira-kira 1,600 orang, kebanyakannya kumpulan perkhemahan di tiga rantau di selatan Perancis apabila hujan lebat mencetuskan banjir kilat serta menukar sungai dan anak sungai kepada limpahan air deras.

Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb dalam satu kenyataan berkata, kawasan paling teruk terjejas adalah rantau Gard, di mana 119 kanak-kanak, kebanyakannya dari Jerman dipindahkan dari tapak perkhemahan di Saint-Julien-de-Peyrolas.

 Seorang pegawai daerah Thierry Dousset memaklumkan saluran berita Perancis, BFM-TV, kira-kira 750 orang dipindahkan dari Gard, majoritinya dari tapak perkhemahan.

Pasukan mencari termasuk penyelam berusaha mengesan seorang lelaki warga Jerman, dipercayai penyelia perkhemahan yang dilaporkan hilang.

BFM-TV berkata, mangsa berusia 70 tahun dan dipercayai dihanyutkan banjir bersama vannya.

Bagaimanapun, Dousset berkata, tiada seorang pun pasti jika lelaki itu berada dalam van ketika kejadian.

Katanya, empat kanak-kanak Jerman dirawat di hospital akibat hipotermia di Bagnols-sur-Ceze, bandar di Sungai Ceze. Mereka adalah antara 10 yang dirawat akibat cedera ringan, kata Gard Gendarmerie dalam Facebook.

Collomb dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 1,600 orang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga di rantau Gard, Ardeche dan Drome. Kira-kira 17,000 rumah di bahagian barat daya dan timur laut terputus bekalan elektrik.

Lebih 400 anggota bomba dan pegawai separa tentera Perancis, dihantar dari rantau lain, membantu pemindahan itu menggunakan helikopter untuk mengesan tapak perkhemahan dalam usaha menyelamat.

Beberapa jalan di kawasan itu masih terputus sehingga malam. Pihak berkuasa memberi amaran, banjir itu mengambil masa untuk surut serta menggesa penduduk berhati-hati. -AFP/Agensi

106 dibaca
Kategori
BeritaDunia