Hadi: PAS Perlu Sokongan Umno, Parti Lain Untuk Buat Perubahan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti pimpinannya masih memerlukan sokongan termasuk daripada ahli Umno kerana sokongan daripada ahli parti sendiri sahaja belum cukup untuk membuat perubahan.

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti pimpinannya masih memerlukan sokongan termasuk daripada ahli Umno kerana sokongan daripada ahli parti sendiri sahaja belum cukup untuk membuat perubahan.

“Kita perlu sedar negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen memerlukan undi yang banyak untuk mendapatkan kuasa.

“Kita tidak boleh menang dengan ahli-ahli PAS sahaja, tidak boleh menang dengan penyokong-penyokong PAS sahaja. Kita perlu pada orang lain mengundi kita.

“Sama ada orang atas pagar, parti lain termasuk orang Umno sendiri mesti diajak mengundi kita untuk membuat perubahan politik negara kepada Islam,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam pada itu Hadi berkata, PAS menghadapi cabaran dan gelombang politik yang banyak dalam tempoh 60 tahun.

“Walaupun demikian bukan sahaja parti ini tidak mati tetapi cahayanya tidak padam. Bahkan ahli-ahlinya makin bertambah.

“Untuk makluman semua… tahun ini kita menerima ahli baharu yang sangat mengejutkan. Jumlah 41,000 ahli baharu, tahun ini.

“Oleh kerana itu, jangan bimbang ada mereka yang ‘serpih’ itu keluar parti kerana mereka yang masuk parti lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata, Islam adalah seperti pokok subur dan rimbun, kalau dipotong dahannya bukan sahaja pokok tidak mati, akan ditumbuh tunas dan cabang yang banyak.

“Hari ini kita mempunyai 195 kawasan daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bermakna sebahagian besar kawasan Parlimen sudah ada kawasan PAS,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Dalam pada itu beliau menambah, politik sangat mempengaruhi ekonomi dan masyarakat tetapi kebanyakannya hanya memandang ringan soal berpolitik.

Ujarnya, kesedaran orang Islam berkenaan politik tidak kuat dan tidak matang, di samping masih banyak kalangan mereka termasuk orang muda sendiri merasakan politik sesuatu perkara yang remeh.

“Seperti disebut ketua PAS kawasan… pengundi muda lebih 50 peratus khususnya pengundi orang Islam yang merupakan 67 peratus penduduk Malaysia. Kaum lain berpecah pecah peratusannya,” katanya.

“Mereka tidak sedar bahawa kenaikan harga barang, susahnya kos sara hidup, masalah jenayah dan masalah salah laku ialah kerana salah politik, salah mengurus negara tidak berdasarkan kepada dosa dan pahala diajarkan oleh Islam,” katanya.

 

 

Kategori
Politik