Azmin ‘Main Wayang’ Teragak-Agak Pecat Exco PAS

Tindakan Datuk Seri Azmin Ali yang dilihat teragak-agak memecat tiga exco PAS susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, membuktikan pemimpin itu 'bermain wayang' politik dalam mentadbir kerajaan

MUAR : Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang dilihat teragak-agak memecat tiga exco PAS susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, membuktikan pemimpin itu ‘bermain wayang’ politik dalam mentadbir kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata keadaan itu menunjukkan seolah-olah kedua-dua pihak mempunyai kepentingan peribadi apabila kesemua exco PAS berkenaan enggan melepaskan jawatan dan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR tidak merombak barisan exco negeri.

“Azmin terkenal sebagai pemimpin yang menghormati perjuangan parti dan sepatutnya sebagai menteri besar, beliau ada hak mutlak untuk menukar barisan pimpinan negeri yang sedia ada.

“Namun, sehingga kini ia tidak dilakukan…tindakan Azmin dikatakan mengarahkan tiga exco PAS terbabit melepaskan jawatan, seperti sengaja ingin bermain sandiwara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Muar di Dataran Tanjung Emas di Muar, semalam.

Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta-merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata Azmin dilihat hanya bersandiwara kerana beliau sebagai menteri besar mempunyai kuasa mutlak untuk menukar barisan exco sekiranya mahu dan tidak perlu meminta tiga exco PAS itu meletakkan jawatan.

Menurutnya tiga exco PAS itu tidak akan melepaskan jawatan dan tidak mustahil juga ‘melompat’ parti demi kepentingan peribadi.

Kategori
Politik