Susu tiruan: KPDNKK tidak perlu tunggu laporan kajian, boleh rampas jika tiruan

Kita berharap KPDNKK dan agensi-agensi lain akan buat siasatan lanjutan untuk pastikan macam mana susu tiruan ini masuk ke dalam pasaran.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan laporan kajian terperinci berhubung isu susu tiruan dalam tempoh dua minggu bermula Selasa lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kajian itu dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tegasnya, KPDNKK perlu mengambil tindakan merampas susu tiruan di pasaran tanpa perlu menunggu laporan kajian tersebut.

 

“Kajian mungkin ambil masa dua minggu untuk diselesaikan dan selepas kajian selesai kita (KKM) akan sediakan laporan dan memberitahu adakah ia merbahaya atau mempunyai risiko atau lain-lain gejala.

“Kita berharap KPDNKK dan agensi-agensi lain akan buat siasatan lanjutan untuk pastikan macam mana susu tiruan ini masuk ke dalam pasaran. Kita kena kenal pasti dan ambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terjadinya perkara ini.

“Rampasan itu boleh dibuat oleh KPDNKK daripada sekarang dan di mana-mana tempat disyaki ada susu tiruan kerana itu tanggungjawab mereka. Untuk beri apa-apa penjelasan perlu berasaskan daripada bukti, kita perlukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hospital International Medical University (IUM) di sini, hari ini.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai anak menunjukkan gejala penyakit selepas meminum susu tersebut untuk mendapatkan rawatan serta membuat laporan di klinik atau hospital berdekatan.

Kategori
BeritaNasional