Pertandingan robot tempur platform lahirkan pakar muda dalam bidang inovasi

Dulu mungkin bidang invasi robot ini tidak penting, tetapi budaya cintakan sains ini perlu diberikan penekanan lebih sekiranya kita mahu melahirkan lebih banyak pakar sains yang baharu

KUALA LUMPUR: Penganjuran Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2017 mampu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam kalangan pelajar terutamanya dalam bidang inovasi sains dan teknologi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata kelangsungan pelapis yang pakar dalam bidang inovasi penting kerana ia merupakan satu daripada pelonjak utama dalam memacu Malaysia menjadi negara ekonomi utama dunia.

“Dulu mungkin bidang invasi robot ini tidak penting, tetapi budaya cintakan sains ini perlu diberikan penekanan lebih sekiranya kita mahu melahirkan lebih banyak pakar sains yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah bagi pertandingan itu, di sini, pada Ahad.

Sebanyak 25 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan robotik yang memerlukan peserta menghasilkan robot berkeupayaan bertempur di gelanggang khas.

Pasukan ‘Adtec B’ dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka muncul johan bagi edisi kali ini manakala kumpulan ‘KKTMPJ’ dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Petaling Jaya dan kumpulan ‘Adtec A’ masing-masing merangkul tempat kedua dan ketiga.

Abu Bakar berkata pertandingan itu juga bertujuan meningkatkan persepsi positif masyarakat terutamanya pelajar agar lebih berkeyakinan memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai kerjaya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasionalTeknologi