Peratusan pelajar dalam jurusan sains masih rendah

Petrosains Science Show Competition adalah sejajar dengan usaha dan matlamat kerajaan untuk meningkatkan minat dan tumpuan masyarakat umum terutamanya para pelajar terhadap bidang sains dan teknolog

PUTRAJAYA: Usaha Kementerian Pendidikan untuk mencapai peratusan pelajar jurusan sains yang tinggi masih belum terlaksana setakat ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Beliau berkata, usaha Kementerian Pendidikan untuk memupuk bakal-bakal saintis, ahli matematik dan pakar teknologi bertaraf dunia memerlukan sokongan yang mantap dan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk badan korporat dan pihak swasta.

“Petrosains Science Show Competition adalah sejajar dengan usaha dan matlamat kerajaan untuk meningkatkan minat dan tumpuan masyarakat umum terutamanya para pelajar terhadap bidang sains dan teknologi,” katanya lagi.

Amin berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Petrosains Science Show Competition 2017 di sini pada Khamis.

Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan menjadi juara pertandingan itu yang menawarkan hadiah utama berupa lawatan dan perbelanjaan yang ditanggung ke Muzium Miraikan, Tokyo bernilai RM30,000.

Sekolah berkenaan yang diwakili dua pelajar iaitu pelajar lelaki Abdul Haziq Saharudin dan pelajar perempuan Amiera Athira Razali turut membawa pulang wang tunai RM10,000, piala, sijil dan barangan Petrosains.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Rompin, Pahang memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM7,000, pingat, sijil dan barangan Petrosains.

‘Petrosains Science Show Competition 2017’ merupakan pertandingan yang merangsang kreativiti pelajar untuk berkomunikasi tentang sains khususnya dalam bentuk persembahan yang menghiburkan dan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan warga yang membudayakan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Pertandingan ini berjaya menarik 1,800 penyertaan daripada sekolah menengah seluruh negara. Tahun ini merupakan tahun kesembilan penganjuran pertandingan tersebut.

Sebanyak 16 sekolah mewakili pelbagai negeri bertanding pada peringkat akhir pertandingan ini.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasionalTeknologi