Najib Ucap Tahniah Kepada Macron Menang Presiden Perancis

Perdana Menteri Malaysia harap hubungan lebih kukuh antara negara ini dan Perancis selepas kemenangan Emmanuel Macron

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengucapkan tahniah kepada Emmanuel Macron atas kemenangan beliau dalam pemilihan presiden Perancis semalam.

“Tahniah kepada presiden pilihan @EmmanuelMacron. Mengharapkan hubungan dua hala yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Menurut Reuters, Macron dipilih sebagai Presiden Perancis membawa visi mesra perniagaan untuk integrasi Eropah, mengalahkan Marine Le Pen, nasionalis yang mengancam menarik keluar Perancis daripada Kesatuan Eropah.

Calon bebas berhaluan sederhana itu diisytiharkan menang selepas memenangi 65.31 peratus undi.

Macron dijadual mengangkat sumpah jawatan minggu depan di Istana Elysee, namun tarikhnya belum ditetapkan.

Majlis dijangka diadakan sebelum berakhirnya penggal perkhidmatan Presiden Francois Hollande pada 14 Mei ini.

Kategori
Nasional