Batal IMAMS Jangan Sekadar Gimik Politik – PAS

PAS berharap kerajaan tidak akan melakukan 'U-turn' dengan kembali melaksanakan sistem 'Integrated Manasik Monitoring System' (IMAMS), yang menerima bantahan ramai pihak.

SHAH ALAM: PAS berharap kerajaan tidak akan melakukan ‘U-turn’ dengan kembali melaksanakan sistem ‘Integrated Manasik Monitoring System’ (IMAMS), yang menerima bantahan ramai pihak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata ini kerana perlaksanaan sistem berkenaan masih kabur dan perlu dikaji semula.

“Saya mengharapkan agar kerajaan terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) tidak melakukan ‘u-turn’ untuk kembali melaksanakan sistem IMAMS tersebut kelak. Pengumuman membatalkan IMAMS diharap bukan gimik politik bagi meleraikan bantahan ramai pihak semata-mata.

“Malah, pihak KPK wajar mempertimbangkan langkah yang lebih berobjektif dan tidak sewenang-wenangnya membebankan pihak lain dalam mendepani kemelut yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyokong usaha kementerian itu dalam menutup ruang penipuan pakej umrah di dalam negara, Nasrudin walaubagaimanapun turut mempersoalkan perlaksanaan sistem berkenaan sedangkan wujudnya Lesen Khas Umrah (LKU) dan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

“Saya ingin tegaskan bahawa sebarang langkah bagi membasmi kes-kes penipuan pakej umrah ketika ini adalah sangat wajar dilaksanakan dan disokong.

“Cuma kedudukan IMAMS dalam ‘big picture’ tersebut masih kabur apatah lagi pihak KPK telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta penglibatan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang merangkumi 13 agensi utama termasuklah Tabung Haji (TH), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA dan JAWHAR,” tambahnya.

Jelasnya, sebaliknya kerajaan perlu mengoptimumkan peranan MKSU serta LKU yang dilihat sudah memadai menangani kes-kes penipuan tersebut.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin memperkenalkan sistem IMAMS semalam yang bertujuan menguruskan jemaah umrah dengan lebih baik, mengukuhkan sistem kawal selia dan membanteras aktiviti penipuan.

Namun, sistem itu dibatalkan sehari selepas dilaksanakan semalam, susulan bantahan daripada pemain industri, pembangkang dan parti kerajaan sendiri.

Menerusi sistem berkenaan, jemaah akan dikenakan caj tambahan RM90.10 yang meliputi bayaran RM5.10 untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), RM40 bagi insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS.

“Persoalannya, mengapa pembayaran tersebut dikenakan sedangkan peraturan 6(1A) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 telah menjelaskan tentang Skim Takaful Umrah. Bagi saya, caj tambahan tersebut hanya menyusahkan orang ramai walaupun kementerian pernah menyebut bahawa caj tersebut sewajarnya ditanggung oleh pihak agensi,” tambah Ahli Parlimen Temerloh itu lagi.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata  kontroversi ini semakin kuat diperkatakan ramai pihak memandangkan caj tambahan yang turut melibatkan pembayaran GST serta kedudukan mereka yang bukan Islam yang terlibat dalam mengurus tentang perihal ibadat umrah umat Islam.

 

 

Kategori
Nasional