Batal IMAMS: Bukan sebab pegawai bukan Islam – Nazri Aziz

Tidak, tiada kaitan. Saya memutuskan untuk membatalkannya kerana tidak setuju dengan (jumlah caj) RM90 dan ia diumumkan sebagai wajib. Itu sahaja

KUALA LUMPUR: Keanggotaan pegawai eksekutif bukan Islam dalam syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd bukan punca sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dibatalkan serta-merta.

Memetik laporan Malaysiakini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pembatalan sistem itu dibuat tidak bersetuju dengan caj dan pelaksanaannya yang wajib.

“Tidak, tiada kaitan. Saya memutuskan untuk membatalkannya kerana tidak setuju dengan (jumlah caj) RM90 dan ia diumumkan sebagai wajib. Itu sahaja,” memetik kenyataan beliau kepada Malaysiakini.

Malah, Mohamed Nazri berkata tindakan pembatalan itu juga dibuat lantaran percanggahan dengan keputusan peringkat Kabinet.

“Apa yang diumumkan kepada orang ramai bukan seperti apa yang kami bincang dalam Kabinet dan jelaskan di perbahasan peringkat jawatankuasa bajet kementerian di Parlimen.

“Caj yang dipersetujui adalah RM40, termasuk insurans, dan hanya pilihan (bukan wajib). Ia bukan program kementerian tetapi inisiatif sektor swasta, maka tak boleh diwajibkan,” katanya lagi.

Sebelum ini viral di media sosial kononnya pegawai eksekutif bukan Islam dalam syarikat itu menjadi antara punca pembatalan sistem tersebut.

Di bawah sistem itu, individu yang ingin menunaikan ibadah umrah dikenakan caj berjumlah RM90.10 merangkumi RM45 bagi caj penggunaan IMAMS, RM40 untuk insurans takaful umrah dan RM5.10 untuk GST.

65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakan sistem tersebut yang bertujuan menangani penipuan pakej umrah menerusi proses permohonan visa umrah.

Kategori
BeritaNasional