SCCCI SAMBUT BAIK RANCANGAN KERAJAAN BANGUN TAPAK ESTET INDUSTRI BARU SIBU

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur mengenal pasti tanah seluas 40 hektar bagi mewujudkan kawasan baharu perindustrian di Sibu

SIBU: Pengumuman Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah berkaitan rancangan kerajaan menubuhkan tapak estet perindustrian baru di Sibu mendapat respons positif pemain industri di wilayah tengah Sarawak itu.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) turut mengalu-alukan cadangan baik itu.

Presiden SCCCI Dr Gregory Hii Sui Cheng dalam kenyataan media beliau berkata, penubuhan estet perindustrian baharu mampu membawa kepada suntikan modal pelaburan baru.

Hal ini menurut beliau membantu melonjakkan perniagaan baru dan memberi nilai tambah kepada aktiviti perindustrian yang akhirnya memberi banyak manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan tengah.

Pada Rabu lepas, Awang Tengah mengumumkan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur mengenal pasti tanah seluas 40 hektar bagi mewujudkan kawasan baharu perindustrian di Sibu.

Bercakap selepas menutup Seminar Pembangunan Usahawan dan Industri di Sibu Awang Tengah berkata, pengambilan tanah dijalankan secara berperingkat.

Hii dalam kenyataan beliau memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari serta dibantu oleh tiga timbalannya yang sangat berpengalaman.

Selain mendirikan tapak perindustrian baharu ini, menurut Hii pengumuman Menteri Pelancongan, Belia, Sukan Dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Hamzah menambah penerbangan udara Sibu-Kota Kinabalu, termasuk perancangan Sibu-Singapura mampu meningkat pesat perniagaan dan sektor pelancongan kawasan tengah itu. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo