POLIS MARIN TUBUH DUA PASUKAN SAR TANGANI BANJIR KILAT DI SARAWAK; SEDIA BEKUKAN CUTI JIKA KEADAAN MENDESAK — KOMANDER

Jika keadaan mendesak, kita akan membeku dan menanggil balik anggota yang sedang bercuti kerana kita mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat
KUCHING: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak kini siap siaga untuk menghadapi situasi banjir kilat yang sedang melanda di seluruh negeri.
 
Komander pasukan, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, pihaknya telah menubuhkan dua pasukan khas yang yang boleh diaturgerakkan bila-bila masa untuk mengendalikan aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya banjir berlaku.
 
“Untuk tujuan tersebut, kita telah menyediakan pelbagai kelengkapan termasuk sebuah bot penyelamat kelas PAC bersama-sama enjin sangkut dengan kit SAR.
 
“Kit SAR bermaksud kelengkapan seperti khemah mini, kerusi meja, papan tulis, jana kuasa mudah alih dan lain-lain lagi, termasuk jaket keselamatan dan petrol, selain lori dan pacuan empat roda.
 
Jelasnya lagi, pasukan ini akan diatur gerak segera sekiranya dikehendaki oleh mana-mana Ketua Polis Daerah di negeri ini.
 
“Polis Marin juga mempunyai pangkalan dan markas operasi di daerah-daerah besar di seluruh Sarawak, yang turut dilengkapi pelbagai aset untuk menghadapi banjir kilat ini.
 
“Malah jika keadaan mendesak, kita akan membeku dan menanggil balik anggota yang sedang bercuti kerana kita mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Moh Ngeteh Merdeka @ KKLW 2017 Zon Kuching di markas pasukan itu pagi semalam.
 
Program yang turut diadakan sempena Sambutan Hari Polis Marin Ke-70 itu dihadiri oleh lebih 60 kanak-kanak daripada 10 tadika Kemas di sekitar Kuching.
 
Beberapa kawasan di hulu dan tengah Sarawak mula dinaiki air sejak minggu lalu dan hari ini, berikutan hujan luar biasa di kawasan hulu sungai.
 
Sementara itu, Salehuddin turut memaklumkan penambahan aset Polis Marin Sarawak yang kini memiliki sebuah bot amfibia atau “air boat” yang kini diletakkan di Markas Taktikal Polis Marin Sibu.
 
“Ia bagi memudahkan pergerakan di kawasan cetek dan berjeram.
 
“Pada masa yang sama, kita masih menunggu sebuah lagi kapal angkut kelas PT2, yang kini sedang dalam pembinaan.
 
Ketika ini katanya, pihaknya terpaksa memohon bantuan Polis Marin Bukit Aman, yang menghantar sebuah kapal PT bagi membantu menangani pencerobohan nelayan asing, terutama di kawasan Beting Patinggi Ali di Miri. – Sarawakvoice
Kategori
Borneo