DBOS BIAYAI DUA KAPAL FLAGSHIP APMM, TETAPI KERAJAAN PUSAT PERLU BAYAR BALIK KOS PINJAMAN — ABANG JO

Keperluan kapal itu adalah mendesak bagi membolehkan agensi itu memantau dan mengawal perairan Sarawak yang kaya dengan ikan dan minyak.

KUCHING: Kerajaan Negeri menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) sanggup membiayai dua kapal induk atau flagship yang diperlukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memerangi aktiviti pelanunan dan pencerobohan nelayan asing.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keperluan kapal itu adalah mendesak bagi membolehkan agensi itu memantau dan mengawal perairan Sarawak yang kaya dengan ikan dan minyak.

“APMM kata tidak cukup aset kapal. Mereka hendak berunding dengan Kerajaan Negeri untuk membeli dua buah kapal yang khas berlabuh di laut.

“Kita boleh bantu. Kita ada DBOS. Binalah kapal itu tetapi Kerajaan Pusat perlu bayar balik. Kita boleh mulakannya segera,” katanya ketika berucap pada majlis pengoperasian KM Sri Aman di sini pagi semalam.

Abang Johari menegaskan, dengan adanya kapal induk ini, mereka (nelayan asing) yang banyak merompak hasil laut Sarawakbboleh ditangkap.

“Dan aktiviti haram di laut dapat ditangani lebih cekap, ” jelasnya lagi.

Ketika ini APMM mempunyai 15 buah kapal dan 18 buah bot untuk memantau perairan Sarawak yang seluas 239,605 km persegi, yang menyamai 39 peratus perairan Malaysia.

Pengarah APMM Sarawak, Ismaili Bujang Pit ketika sidang media selepas majlis, mengalu-alukan persetujuan Ketua Menteri tersebut.

“Kapal-kapal landing craft ini amat perlu. Sebab laut kita terlalu luas dan kita (Sarawak) tidak ada banyak pulau.

“Kapal ini tidak perlu terlalu canggih tetapi boleh menempatkan bot dan minyak yang lebih agar kita boleh bertahan lebih lama di laut.

“Ia seharusnya dibina di dalam negeri …. kerana kosnya tidak begitu mahal.

Katanya, beliau gembira kepimpinan Kerajaan Negeri memahami hasrat dan keperluan APMM Wilayah Sarawak.

“Sarawak kini menjadi fokus. Jika kita gagal berbuat sesuatu yang drastik, ia mungkin terlalu lambat dan sumber kita sudah habis.

“Ini merupakan tanggungjawab kita untuk membawa perkara ini kepada pengetahuan pemimpin kita kerana kita berada di lapangan dan tahu bentuk keperluan ini.

“Justeru kita berharap akan terus mendapat sokongan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat berhubung perkara ini, ” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

 

 

 

Kategori
Borneo