Zaidatul terakhir di final 100m Sukan Asia

230 JAKARTA: Ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan saingan akhir pecut 100 meter (m) Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di kedudukan terakhir manakala cabaran jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul...

JAKARTA: Ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan saingan akhir pecut 100 meter (m) Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di kedudukan terakhir manakala cabaran jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa menemui noktah di peringkat separuh akhir.

Zaidatul Husniah gagal menyaingi catatan terbaiknya 11.59 saat (s) musim ini yang dilakukan pada pusingan pertama semalam selepas sekadar mencatat kepantasan 11.61s untuk menamatkan saingan acara riben biru itu yang dimenangi pelari Bahrain, Edidiong Odiong dengan catatan 11.30s.

Pingat perak menjadi milik pelari India, Dutee Chand yang merakam 11.32s manakala atlet China, Wei Yongli dari China membawa pulang gangsa (11.33s).

Atlet kelahiran Alor Setar itu yang pernah membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik Rio 2016 berkata beliau telah berikan yang terbaik untuk mara sehingga ke peringkat akhir pada penyertaan sulungnya di Sukan Asia.

“Semuanya berjalan dengan lancar malah sebelum larian juga saya amat yakin mampu memecut lebih pantas. Tetapi pengalaman beraksi dalam saingan akhir bersama bintang-bintang 100m Asia menjadi pengalaman paling berharga buat saya.

“Selepas ini saya akan berusaha untuk lebih fokus bagi memastikan rentak larian saya sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat acara itu yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s gagal melangkah ke saingan akhir selepas menduduki tempat keenam dengan catatan 10.45s pada saingan separuh akhir ketiga sementara Jonathan merekodkan 10.46s pada saringan kedua.

Kategori
BeritaSukanUtama