The Reds kembali lebih padu

“Suasana dalam kelab ketika ini juga sangat baik dan kami mahu membinanya dan menjadikan ia lebih serasi.”

KEJAYAAN mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara dan tiga kemenangan mengagumkan ke atas Manchester City pada musim lalu menambah keyakinan Liverpool mereka boleh menjadi pencabar utama skuad bimbingan Pep Guardiola, musim ini.

Mereka turut berusaha keras pada jendela perpindahan musim ini dan mendapat reaksi positif selepas pengurus daripada Jerman, Juergen Klopp melakukan perubahan besar bagi mengukuhkan pasukannya.

Kelemahan paling ketara tahun lalu ialah di bahagian gol, di mana prestasi buruk Loris Karius ketika aksi Liga Juara-Juara menyebabkan mereka tewas kepada Real Madrid, sekali gus mendedahkan kelemahan dalam memilih penjaga gol berkelas dunia.

Klopp bertindak dengan menandatangani pemain antarabangsa Brazil berusia 25 tahun, Alisson Becker dari AS Roma, memadamkan rekod dunia perpindahan termahal penjaga gol dengan nilai mencecahkan 72.5 juta euro (RM342.5 juta).

Pemergian Emre Can ke Juventus, kecederaan jangka panjang Alex Oxlade-Chamberlain menyebabkan Klopp tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah.

Namun kehadiran bintang Brazil, Fabinho dari AS Monaco dan pemain antarabangsa Guinea, Naby Keita dari RB Leipzig menghidangkan lebih banyak pilihan pemain berkualiti.

Kekuatan Liverpool musim lalu adalah di bahagian serangan yang menyaksikan tiada perubahan membabitkan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Mereka kekal menjadi kombinasi mantap yang mampu merobek benteng pertahanan lawan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Pembelian mengejut bintang Switzerland, Xherdan Shaqiri dari Stoke City melengkapkan perpindahan menakjubkan buat pasukan Klopp pada jendela perpindahan kali ini.

Ketibaan Virgil van Dijk Januari lalu juga menjadikan Liverpool lebih stabil dan mantap di bahagian pertahanan tengah, ketika Joe Gomez dan Nathianel Clyne dijangka kembali cergas dan menawarkan lebih banyak pilihan di bahagian benteng.

Biarpun City masih lagi menjadi pilihan untuk muncul sebagai juara, Liverpool sedar mereka mampu untuk mencalarkan keegoan Guardiola.

Mereka menewaskan pasukan itu 4-3 dalam saingan liga di Anfield pada Januari sebelum menang 3-0 dalam aksi suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara.

Klopp sedar – Liverpool perlu menutup beberapa kelemahan dalam persembahan yang menjadi punca mereka gagal untuk mencabar City dalam perebutan juara liga musim lalu, namun beliau tidak menjanjikan piala tetapi menjangkakan akan berlakunya peningkatan mutu permainan.

“Penambahbaikan, pembangunan, menggunakan pendekatan bola sepak musim lalu sebagai asas dan membuat langkah seterusnya. Lebih konsisten yang mana kami tidak konsisten musim lalu,” katanya.

“Suasana dalam kelab ketika ini juga sangat baik dan kami mahu membinanya dan menjadikan ia lebih serasi.”

Kategori
BeritaSukanUtama