Balingan emas Muhd. Rafiq Ismail menceriakan rakyat Malaysia apabila dia mengungguli acara masters lelaki di Kompleks Sukan Jakabaring semalam.

Atlet berusia 21 tahun dari Ampang, Selangor itu membuktikan dirinya layak menjadi pemain boling terbaik Asia selepas menewaskan juara edisi 2014, Park Joo Woo dari Korea Selatan dengan keputusan 534-511 dalam aksi final yang turut menyaksikan seorang lagi pemain Korea Selatan, Koo Seong Hoi meraih pingat gangsa.

Lebih manis, ia merupakan pingat pertama bagi acara masters buat kem boling negara selepas kali terakhir diraih oleh pemain veteran, Shalin Zulkifli pada edisi 2002 di Seoul, Korea Selatan

Minggu lalu, trio boling wanita, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah menyumbang emas pertama Malaysia diikuti ratu skuasy, Datuk Nicol David dalam acara perseorangan wanita kelmarin.