Pemain berusia 19 tahun itu berdepan cabaran hebat daripada wakil India, Joshana Chinappa di peringkat separuh akhir sebelum menang ke atas pemain yang berada di ranking ke-14 dunia itu dengan keputusan 12-10, 11-6, 9-11, 11-7 semalam.

Nicol pula tidak berdepan masalah untuk menewaskan seorang lagi wakil India, Dipika Pallikal yang berada di ranking ke-19 dunia dengan keputusan 11-7, 11-9, 11-6 untuk menempah slot ke final buat kali keenam berturut-turut sejak edisi 1998 di Bangkok, Thailand.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan kontinjen Malaysia sah akan menambah pingat emas kedua hari ini.

Sivasangari mahu pe­luang beraksi di pentas final pada pe­nampilan sulung di Sukan Asia digunakan sebaik mungkin meskipun terpaksa berdepan dengan Nicol yang merupakan idolanya sejak kecil.

“Saya gembira apabila dapat melangkah ke final pada penampilan pertama dan ini merupakan sesuatu di luar jangkaan kerana saya berdepan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi pada saingan suku akhir dan separuh akhir.

“Saya akan memberi tumpuan penuh dalam aksi final kerana apa sahaja boleh berlaku. Bagaimanapun, saya tetap menghormati Nicol dan anggap ini sebagai mimpi menjadi kenyataan kerana saya belum pernah bersaing dengannya di pentas sebesar ini,” kata pemain ranking ke-40 dunia itu.

Sementara itu, Nicol me­ngakui akan bermain tanpa sebarang tekanan tetapi berharap dapat melakukan yang terbaik di pentas final untuk meraih pingat emas buat kali kelima dalam Sukan Asia.

“Saya kini berada pada tahap terbaik dan sangat yakin untuk tampil lebih bertenaga pada aksi final esok (hari ini),” kata pemain berusia 35 tahun itu yang juga bekas pemain No. 1 dunia.