Buat julung-julung kalinya, Malaysia bakal menampilkan pasukan sendiri pada saingan MotoGP mulai musim depan.

Pengumuman mengenai pasukan Pe­tronas Yamaha Sepang Racing Team bagi kelas MotoGP dan Petronas Sepang Ra­cing Team untuk kelas Moto2 serta Moto3 itu dibuat tepat pada masanya.

Meskipun menggunakan khidmat pelumba asing bagi tempoh dua tahun akan datang untuk saingan MotoGP dan Moto3, ia dianggap sebagai satu lembaran baharu bagi penggiat sukan permotoran negara.

Dua pelumba itu ialah Franco Morbidelli dari Itali dan pelumba muda Pe­rancis, Fabio Quartararo akan mengibar ben­dera pasukan negara dalam kelas MotoGP.

Pelumba Scotland, John McPhee dan Ayumu Sasaki dari Jepun pula beraksi dalam kelas Moto3, manakala Khairul Idham Pawi menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kelas Moto2.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pasukan baharu itu dilancarkan untuk menjadi platform kepada pelumba-pelumba muda negara membina karier sebagai pelumba profesional.

“Kita sudah ada platform dan siapa yang bekerja keras, dia akan mengisi tempat dalam pasukan negara yang baru dilancarkan ini.

“Kita sudah ada pasukan yang boleh menjamin masa depan pelumba-pelumba berbakat daripada Asian Talent Cup hingga saingan MotoGP.

“Apa yang mereka perlu lakukan adalah berdisiplin dan bekerja keras,” katanya kepada Kosmo! selepas majlis pelancaran pasukan MotoGP negara di Litar Silverstone Jumaat lalu.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya dan Presiden Pe­tronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Di sebalik pengumuman pasukan baharu negara itu, Litar Silverstone mencatat satu ‘sejarah hitam’ apabila perlumbaan di lokasi tersebut terpaksa dibatalkan selepas air hujan bertakung di atas permukaan litar sebaik sahaja sesi pemanas badan kelas MotoGP berakhir.

Pengarah Perlumbaan MotoGP, Mike Webb berkata, pihaknya mempu­nyai pengalaman selama bertahun-tahun berdepan keadaan litar yang sangat basah tetapi masih mampu meneruskan perlumbaan.

Perlumbaan yang dijadualkan pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu (6.30 petang waktu Malaysia) dibatalkan pada pukul 4 petang kerana hujan lebat dan air bertakung di permukaan litar.

Pengarah Urusan Litar Silverstone, Stuart Pringle pula berkata, mereka akan melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui sama ada permukaan litar yang baru itu diturap pada Februari lalu sebagai punca.

Pembatalan itu mungkin menjadi satu berita yang mengecewakan peminat-peminat sukan permotoran dunia ter­utamanya mereka yang telah ‘berkampung’ di litar itu sejak Khamis lalu.

Namun, di sebalik kekecewaan itu, ia mungkin boleh dianggap sebagai sesuatu yang menggembirakan bagi barisan pelumba negara jika persembahan pada sesi kelayakan menjadi ukuran.

Pada sesi penentuan petak hadapan, pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah sekadar mencatat masa 2 minit 16.483 saat (s) untuk menghuni tempat ke-23.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu ketinggalan jauh di belakang pelumba di petak pertama, Jorge Lorenzo daripada pasukan Ducati (2:10.155s) dalam saingan kelas MotoGP.

Dua lagi pelumba negara iaitu Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3) masing-masing sepatutnya bermula dari petak ke-27 serta ke-15.

Bagaimanapun, Hafizh yang menunggang jentera Yamaha YZR-M1 tidak menolak kemungkinan ia merupakan perlumbaan terbaik baginya untuk me­lakukan satu kejutan.

“Saya tidak boleh kata bahawa pembatalan ini memberi keuntungan kepada saya kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perlumbaan.

“Mungkin saya akan mencatat keputusan yang baik meskipun saya bermula dari kedudukan ke-23.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa ada pelumba lebih suka beraksi dalam keadaan litar kering dan ada yang mampu mencatat keputusan baik jika berlumba di litar basah.

“Namun, jika faktor keselamatan pelumba diambil kira, saya anggap ia satu keputusan yang baik.

“Perasaan kecewa pasti ada tetapi kami tidak mampu melakukan apa-apa kerana keputusan telah dibuat,” kata pelumba berusia 24 tahun kelahiran Ampang, Selangor itu.

Hafizh menambah, dia akan bekerja keras untuk membaiki persembahannya pada perlumbaan akan datang selepas mencatat keputusan yang buruk pada sesi kelayakan GP Britain.

Para pelumba akan beraksi pada GP San Marino di Litar Masano pada 9 September depan, manakala GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung pada 4 November.