Firmino bantu Liverpool menang

Penyerang Brazil, Firmino beraksi di babak pertama, meletakkan Liverpool di depan sebelum membantu pemain tengah, Georginio Wijnaldum meledak gol kedua.

ROBERTO Firmino menyerlah ketika Liverpool memuktamadkan aksi pra musim mereka dengan kemenangan selesa 3-1, ke atas pasukan dari Itali, Torino di Anfield, awal pagi tadi.

Meskipun dijadual membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham, Ahad ini, Jurgen Klopp membariskan pasukan berkaliber selain pemain tonggak turut diberikan masa permainan berharga.

Penyerang Brazil, Firmino beraksi di babak pertama, meletakkan Liverpool di depan sebelum membantu pemain tengah, Georginio Wijnaldum meledak gol kedua.

Penyerang Itali, Andrea Belotti mengurangkan defisit jaringan buat pelawat menerusi tandukan tetapi sebaik saja Klopp melakukan pertukaran pemain, Daniel Sturridge menyempurnakan hantaran Xherdan Shaqiri, bagi melengkapkan jaringan kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan persahabatan.

Penjaga gol baharu, Alisson memulakan aksi bersama Liverpool sebelum Loris Karius diberi peluang menggantikan pemain Brazil itu di babak kedua.

Karius diberi peluang beraksi hanya dua bulan selepas mengalami gegaran otak dan melakukan dua kesilapan ketika final Liga Juara-Juara yang menyaksikan Liverpool tewas 1-3 di tangan Real Madrid.

Sementara itu, Chelsea diikat tanpa jaringan dengan Lyon di Stamford Bridge sebelum penjaga gol veteran, Rob Green menafikan jaringan daripada penentuan sepakan penalti bagi menjamin kemenangan 5-4.

Eden Hazard, yang dikaitkan dengan pemindahan ke Real Madrid kembali bersama pasukan kendalian Maurizio Sarri selepas terlepas aksi Perisai Komuniti yang menyaksikan mereka tewas di tangan Manchester City selain turut menjaringkan gol dalam penentuan penalti itu.

Kategori
BeritaSukanUtama